fbpx
Now Reading
Mangsa & Waris Korban Tanah Runtuh Di Tapak Perkhemahan Batang Kali Saman Kerajaan Selangor

Mangsa & Waris Korban Tanah Runtuh Di Tapak Perkhemahan Batang Kali Saman Kerajaan Selangor

Selain daripada Kerajaan Selangor, mangsa dan waris insiden tanah runtuh di Batang Kali itu turut menyaman enam pihak yang lain antaranya pengusaha campsite, PKPS dan Pengarah JKR Selangor.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Masihkah anda ingat tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor pada 16 Disember 2022 yang lalu?

Kejadian yang menggemparkan negara dan menyayat hati itu telah meragut 31 nyawa daripada 92 mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada guru, pelajar dan kakitangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di Kampung Batu, Jalan Ipoh serta ahli keluarga mereka.

Ia merupakan nahas yang merekodkan jumlah korban terbesar selepas 48 mangsa dilaporkan meninggal dunia dalam insiden runtuhan Highland Tower pada 1993 yang lalu.

Mangsa & Waris Korban Saman Kerajaan Selangor & 6 Pihak Lain

Terbaharu, seramai 23 individu yang terdiri daripada mangsa dan ahli keluarga mereka yang maut bertindak menyaman kerajaan Selangor dan enam yang lain kerana didakwa gagal menunaikan tanggungjawab dan menyebabkan kecuaian.

Selain kerajaan Selangor, enam pihak lain yang dinamakan adalah seperti berikut:

  1. Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS)
  2. Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS)
  3. Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor
  4. BL Agro Sdn Bhd
  5. Malaysia Gardens Resort Sdn Bhd
  6. Infrasel Sdn Bhd

Turut Tuntut Ganti Rugi Am & Ganti Rugi Khas

Dalam pernyataan tuntutan tersebut, plaintif menuntut ganti rugi bagi kerosakan harta benda, kecederaan peribadi, ganti rugi khas serta ganti rugi kehilangan tanggungan dan kehilangan nyawa.

Selain itu, mereka turut menuntut ganti rugi am dan teruk serta kerugian tidak ketara yang tidak terhad kepada kesakitan, penderitaan, tekanan emosi dan mental.

Tuntut Ganti Rugi Khas Lebih RM1.2 Juta

Bagi ganti rugi khas, mereka menuntut sebanyak RM1,220,406.84. Mereka juga turut menuntut tambahan 2.5% faedah ke atas ganti rugi khas secara am dan ganti rugi teruk serta kos.

Faedah sebanyak 2.5% itu dikira bermula dari tragedi tanah runtuh berlaku hingga penghakiman dibuat.

Plaintif turut menuntut faedah 5% setahun dari tarikh writ saman iaitu bermula 23 Oktober 2024 hingga penghakiman dibuat.

Setiap Pihak Disaman Atas Kapasiti Masing-Masing

Menerusi writ saman tersebut, plaintif mendakwa BL Agro dan Malaysia Botanical Gardens Resort disaman atas kapasiti mereka sebagai pengusaha dan pemilik tapak perkhemahan dan tanah terbabit.

“Penggunaan sebahagian tanah tapak perkhemahan terbabit adalah zon komersial walaupun mengikut hak milik tanah, ia bagi tujuan pertanian,” katanya.

Manakala, Pengarah JKR Selangor disaman ekoran tanggungjawabnya berkaitan cerun di negeri tersebut.

Infrasel yang bertanggungjawab dalam pemeriksaan dan penyelenggaran semua jalan di Selangor mewakili JKR, Selangor sedang diambil tindakan undang-undang.

Yang Dipertua MPHS pula disaman atas tanggungjawabnya dalam memastikan semua Pembangunan dan perniagaan dikawal selia manakala PKPS disaman sebagai bekas pemilik tanah tapak perkhemahan.

Dakwa plaintif, kerajaan Selangor bertanggungjawab ke atas JKR negeri, MPHS dan PKPS.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Tanah Runtuh Di Tapak Perkhemahan Batang Kali, 8 Disahkan Maut

Baca Artikel Berkaitan: Tanah Runtuh Batang Kali: Jumlah Mangsa Terlibat 92 Bukan 94 Orang

Baca Artikel Berkaitan: Tanah Runtuh Di Tapak Perkemahan Batang Kali, PM Arah Misi SAR Dijalankan Secara Rapi

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.