fbpx
Now Reading
Najib Diarah Bela Diri Untuk 25 Pertuduhan ‘Money Laundering’ & Seleweng RM2.3 Bilion Dana 1MDB

Najib Diarah Bela Diri Untuk 25 Pertuduhan ‘Money Laundering’ & Seleweng RM2.3 Bilion Dana 1MDB

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa melakukan kesalahan ‘money laundering’ dan seleweng dana 1MDB itu ketika menjawat jawatan selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (30 Oktober) mengarahkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membela dirinya atas 25 pertuduhan.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional itu berhadapan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 21 tuduhan pengubahan wang haram (money laundering) berjumlah RM2.3 bilion.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam alasan penghakimannya berkata, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib, lapor Awani.

Mengikut pertuduhan, Najib yang terkenal dengan tagline ‘Malu Apa Bossku’ itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan ketika menjawat jawatan selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

4 pertuduhan terima suapan RM2.3b dana 1MDB di AmIslamic Bank Jalan Raja Chulan

Sebelum ini, Najib yang berusia 71 tahun itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB.

Kesalahan itu dilakukan di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 14 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Susulan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, Najib yang juga bekas Presiden UMNO itu boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda nilai terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

21 pertuduhan pengubahan wang haram di bank yang sama

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa atas 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore semula berjumlah RM2,196,786,711.87.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 22 Mac 2013 sehingga 10 April 2013.

Bagi lima pertuduhan lagi, Najib didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Selain itu, RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan, RM246,000 kepada Lim Soon Peng, RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn Bhd, dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.

Dalam prosiding hari ini, Najib diwakili barisan peguam bela yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersama-sama Tania Scivetti dan Wan Azwan Wan Fakhruddin.

Manakala pihak pendakwaan pula diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.