fbpx

Polis Sedang Siasat Penemuan MyKad & Lesen Memandu Rakyat Malaysia Di Sebuah Kubu Ukraine

Difahamkan MyKad dan Lesen Memandu Malaysia tersebut merupakan sebahagian daripada trofi peperangan yang dipamerkan selepas ahli 336th Marine Brigade Rusia menawan kubu berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Masyarakat dunia, termasuk rakyat Malaysia, dilihat semakin cakna tentang konflik dan peperangan yang berlaku di kawasan Timur Tengah terutamanya Palestin.

Di samping itu, satu lagi konflik besar sedang berlaku adalah di antara kerajaan Rusia dan Ukraine sejak 2022 yang telah mengorbankan sekitar satu juta rakyat kedua-dua negara, majoritinya ialah askar.

Tular Gambar MyKad & LMM Malaysia Sebagai ‘Trofi Peperangan’ Di Ukraine

Bercakap mengenai perang Ukraine-Rusia, baru-baru ini tular satu hantaran di laman X memaparkan gambar lesen memandu seorang rakyat Malaysia yang didakwa menjadi askar upahan di sebuah kubu Ukraine.

Pemilik akaun yang memuat naik gambar tersebut menjelaskan ia merupakan sebahagian daripada trofi peperangan yang dipamerkan selepas ahli 336th Marine Brigade Rusia menawan kubu berkenaan.

Difahamkan pemilik MyKad dan lesen memandu terbabit berasal dari Perlis berdasarkan kepada alamat yang tertera. Namun status rakyat Malaysia itu sehingga kini masih tidak dapat dipastikan.

PDRM Sedang Sahkan Dakwaan

Terkini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesahkan kesahihan dakwaan MyKad dan lesen memandu Malaysia yang ditemui di Levadne, Zaporizhia, Ukraine itu.

Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya sedang menyemak dakwaan terbabit dengan mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Luar Negeri (KLN).

KLN Belum Dapat Sahkan Kesahihan Maklumat

Sebelum ini, Wisma Putra memaklumkan bahawa dakwaan tersebut masih belum dapat disahkan. Dalam pada itu, laporan tentang penemuan dokumen pengenalan diri itu telah diambil maklum oleh KLN.

“Buat masa ini, kami tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut. Maklumat tersebut juga telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan.

“Kami dengan hormatnya memohon pihak media dan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya dipetik Berita Harian.

Menerusi kenyataan sama, KLN menegaskan bahawa rakyat Malaysia bertanggungjawab terhadap keselamatan sendiri ketika berada di luar negara.

“Walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri,” jelasnya.

PDRM & KLN Sangkal Dakwaan Rakyat Malaysia Sebagai Askar Upahan Di Rusia Sebelum Ini

Sekitar awal tahun ini, satu laporan oleh pihak Ukraine menyatakan bahawa terdapat rakyat Malaysia yang didakwa berkhidmat sebagai askar upahan Rusia di Donetsk, Ukraine.

Menurut laporan terbabit, askar upahan dari Malaysia yang ditemani oleh seorang penterjemah dilihat di Donetsk, yang sebahagian besarnya sudah berada di bawah kawalan pihak Rusia dan proksi sejak 2014.

KLN dan PDRM memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara tersebut walaupun setelah siasatan dijalankan dengan bantuan rakan sejawat Eropah, serta dakwaan dinafikan oleh Razarudin.

Tentera Korea Utara Mungkin Akan Sertai Rusia

Dalam satu perkembangan lain, NATO berkata ribuan tentera dari Korea Utara telah bergerak ke barisan hadapan pada Isnin (28 Oktober).

Perkara ini seterusnya menggesa Kyiv untuk mendapatkan lebih banyak senjata dan pelan antarabangsa bagi mengekang kemasukan tentera tersebut.

Pada Selasa (29 Oktober), menteri luar negeri Korea Utara tiba di Rusia bagi perbincangan mengenai perang Ukraine-Rusia.

NATO dan Korea Selatan dalam pada itu menyatakan amaran bahawa tentera dari Korea Utara itu mungkin akan menyertai pihak Rusia.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.