“Ingatkan Kes Arwah Yang Terakhir” – Bapa Zulfarhan Ulas Insiden Pelajar UPNM Didakwa Ditekap Seterika
Menurut Zulkarnain, dia meluahkan rasa sedih apabila kejadian yang pernah menimpa anak lelakinya, (Allahyarham Zulfarhan Osman turut dialami oleh penuntut yang lain.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai dakwaan seorang pegawai kadet tahun dua Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi dipercayai dibuli dan didera oleh seorang pelajar senior dengan menggunakan seterika.
Pelajar senior berkenaan dipercayai menekap seterika tersebut ke dada mangsa sehingga meninggalkan kesan lecur dan kes tersebut terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan oleh jurulatih bertugas yang menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Ekoran itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi satu kenyataan pada Rabu (30 Oktober) lalu mengesahkan kes tersebut sedang dalam siasatan di peringkat ALK-UPNM.
Malah, mereka juga menegaskan akan menjalankan siasatan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut.
Insiden tersebut nyata menarik perhatian ramai termasuklah bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros yang pernah terlibat dengan insiden serupa.
𝗦𝗜𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗔𝗞𝗛𝗕𝗔𝗥 : 𝗟𝗔𝗣𝗢𝗥𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗚𝗔𝗠𝗕𝗔𝗥 𝗞𝗘𝗦 𝗞𝗔𝗗𝗘𝗧 𝗨𝗣𝗡𝗠 ‘𝗗𝗜𝗧𝗘𝗞𝗔𝗣 𝗦𝗘𝗧𝗘𝗥𝗜𝗞𝗔’ 𝗗𝗜 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔 𝗦𝗢𝗦𝗜𝗔𝗟 1. Angkatan Tentera Malaysia (ATM)…
Posted by Angkatan Tentera Malaysia on Wednesday 30 October 2024
Sedih Kejadian Sama Berulang Kepada Penuntut Lain
Menurut Zulkarnain, dia begitu sedih sebaik mengetahui kejadian yang pernah menimpa anak lelakinya berulang semula dan kali ini dialami oleh penuntut yang lain.
“Saya sedih kejadian yang pernah berlaku terhadap anak (Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain) berulang kepada penuntut lain,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Jelasnya, dia mengetahui insiden tersebut selepas membaca laporan media yang dihantar oleh isteri kepadanya melalui aplikasi WhatsApp.
“Saya terkejut kerana masih ada kes buli berlaku kepada penuntut UPNM. Saya sangka kes arwah anak yang terakhir tapi ia masih berulang.
“Dakwaan mangsa ditekap seterika, tidak kiralah seterika biasa atau seterika wap, ia sesuatu yang tidak boleh diterima kerana bukan saja menyakitkan dan menyeksakan tapi ia meninggalkan kesan buat mangsa.
“Seperti berlaku kepada arwah anak yang mempunyai 90 kesan tekapan seterika wap panas, sehingga sekarang saya tak mampu untuk lupakan kesengsaraan dialami arwah,” katanya lagi.
Bapa Arwah Zulfarhan Berpendapat Laporan Siasatan Wajar Didedah, Pihak Universiti Perlu Ambil Serius
Malah, Zulkarnain berpendapat laporan siasatan kejadian tersebut wajar didedahkan kepada umum agar dapat dijadikan pengajaran kepada pihak lain.
Jelasnya, pihak universiti perlu memandang serius insiden berkenaan yang berlaku kali kedua walaupun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Tambahnya lagi, sudah tiba masanya akta antibuli diwujudkan bagi menangani peningkatan kes buli yang melibatkan fizikal, mental dan seksual.
“Sehingga kini tiada undang-undang khusus terpakai bagi kes buli di sekolah dan institut pengajian tinggi.
“Peningkatan kes buli kebelakangan ini adalah petanda kecemasan yang memerlukan tindakan segera pihak berwajib,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Bunuh Zulfarhan, 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung
Baca Artikel Berkaitan: Kes Bunuh Zulfarhan: “Ambil Iktibar Atas Apa Terjadi” – Tengku Ampuan Pahang Titip Pesan Kepada Pelajar Universiti [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Akui Geram, Ibu Zulfarhan Harap Bomoh Bertaubat & Mohon Maaf [Video]