Isu Penyasaran Subsidi T15: “Saya Bukan Robin Hood” – Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim yang juga merupakan Menteri Kewangan menjelaskan penyasaran subsidi yang diumumkan kerajaan adalah munasabah dan bukanlah satu bentuk diskriminasi terhadap golongan maha kaya atau T15.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi kumpulan berpendapatan tinggi atau golongan ‘T15’.
Kenyataan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu nyata mendapat perhatian ramai memandangkan tiada pengelasan khusus mengenai siapakah yang tersenarai di bawah kategori T15.
Malah, ada yang mempersoal rancangan Anwar untuk menarik subsidi golongan tersebut dan mempertahankan golongan bawahan.
Saya Bukan Robin Hood, Anti Golongan Maha Kaya
Terbaharu, Anwar menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan anti golongan maha kaya dan bertindak sebagai Robin Hood yang mengambil wang daripada golongan tersebut untuk diberikan kepada golongan miskin melalui pelaksanaan rasionalisasi subsidi.
Jelasnya, tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah munasabah dan bukanlah satu bentuk diskriminasi terhadap golongan maha kaya.
“Jika mahu membantu dan menjaga orang miskin, kita mesti mempunyai sumber yang mencukupi. Negara mewarisi hutang yang besar berjumlah RM1.5 trilion tapi pada masa sama, tidak mahu mencukai rakyat.
“Jadi, kita mengambil sedikit dan kenakan cukai yang sederhana ke atas golongan maha kaya dan menarik balik subsidi kepada mereka. Itulah falsafah ekonomi, orang kata itu Robin Hood.
“Ia bukan Robin Hood, hanya menarik balik subsidi (daripada golongan orang kaya),” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Malaysia Negara Yang Mempunyai Subsidi Tertinggi & Cukai Terendah
Tambah Anwar, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai subsidi tertinggi dan kadar cukai yang terendah di dunia.
“Bayangkan, ada antara individu terkaya di negara ini yang di bawah dasar sebelum ini, menerima subsidi elektrik daripada kerajaan. Kerajaan hanya mahu mereka membayar kos sebenar. Bagi saya, itu adil.
“Jika ada pihak tertentu yang mahu mempolitikkan isu ini dengan menyifatkan ia tidak adil atau tidak munasabah, ia mungkin kerana menjejaskan kepentingan perniagaan mereka,” ujarnya.
Tidak Peduli Ada Yang Politikkan Isu Berkenaan
Pada masa yang sama, bagi pihak yang mempolitikkan isu berkenaan, Anwar menegaskan bahawa itu adalah urusan mereka.
Malah di pihaknya, beliau akan sedaya upaya meneraju Malaysia dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.
“Jika mereka ingin jadikan ini sebagai isu politik atau katakan kita tidak adil, itu adalah urusan mereka.
“Saya nak bagi yang saya sudah lama bertarung. Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik. Kita akan laksanakan sebaiknya demi selamatkan negara ini dan selamatkan rakyat terbanyak,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Terdahulu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memaklumkan kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) sedang memperincikan golongan T15 dalam tempoh sebulan ini sebelum dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan.
Jelas Rafizi, perincian itu amat diperlukan bagi memberi panduan lebih tepat mengenai kumpulan T15 yang akan dinilai berdasarkan lokaliti dan bukan bersifat nasional seperti dasar terdahulu.
Baca Artikel Berkaitan: 10 Juta Isi Rumah Akan Dinilai, Berpotensi Diklasifikasikan Sebagai T15 – Rafizi Ramli
Baca Artikel Berkaitan: Gaji RM7,000 Sebulan Dah Tak Layak Dapat Subsidi RON95? Ini Penjelasan Rafizi [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Turut Terbeban Dengan Kos Sara Hidup, Individu Bergaji RM11,000 Ke Atas Mohon Tak Diabaikan Kerajaan