fbpx
Now Reading
Pukul Pemandu e-Hailing Pekak, Polis Pengiring TMJ Didenda RM1,000

Pukul Pemandu e-Hailing Pekak, Polis Pengiring TMJ Didenda RM1,000

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan turut memerintah hukuman penjara 20 hari jika tertuduh gagal membayar denda RM1,000 tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Anggota polis yang juga pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail hari ini (4 November) mengaku bersalah atas dakwaan menyerang seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya.

Sehubungan itu, tertuduh Muhammad Taufik Ismail dikenakan denda sebanyak RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menyebabkan kecederaan ke atas seorang pemandu pekak, Ong Ing Keong.

Kesalahan itu dilakukan pada 28 Mei lalu, sekitar 11.40 pagi, di hadapan lobi Hotel St Regis, Kuala Lumpur.

Tertuduh Mohon Maaf Pada Mangsa & Keluarga

Tertuduh dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda tidak lebih RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Menerusi peguam A Ashok, Taufik memohon maaf semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini.

“Pengakuan (bersalah) tertuduh menunjukkan dia menyesal dan insaf dengan perbuatannya itu. Dia juga ingin memohon maaf kepada mangsa dan keluarganya.

“Tertuduh sejak awal lagi telah memberi kerjasama kepada penyiasat dan juga pihak pendakwaan. Dia hadir ke mahkamah hari ini secara sukarela bagi menghadapi pertuduhan,” kata peguam itu dipetik MalaysiaKini.

Kesalahan Pertama Tertuduh Selama 9 Tahun Sebagai Polis

Dalam pada itu, Ashok memohon hukuman yang lebih ringan buat anak guamnya kepada Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Dia berkata, Taufik yang berpangkat lans koperal dan telah berkhidmat dengan polis selama sembilan tahun mempunyai rekod yang bersih. Manakala pengakuan hari ini merupakan kesalahan pertamanya.

Tambah peguam itu lagi, anak guamnya sedia mengaku bersalah walaupun kerjayanya sebagai Unit Tindakan Khas (UTK) di Bukit Aman mungkin akan terjejas dengan pengakuannya.

Di samping itu, Ashok berkata Taufik merupakan anak sulung yang menanggung ibu, 60, seorang penghidap penyakit darah tinggi serta bapa, 73, yang tidak dapat berjalan akibat strok.

DPP Mohon Hukuman Penjara Sebagai Pengajaran Kepada Tertuduh & Masyarakat

Walau bagaimanapun, memandangkan kes tersebut adalah isu kepentingan awam yang mendapat liputan luas pihak media, Timbalan Pendakwa Raya, Razali Che Ani, memohon hukuman pencegahan.

Tambah Pendakwa Raya, kes tersebut yang membabitkan seorang anggota polis telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap kelakuan pihak berkuasa terbabit.

“Kami memohon hukuman penjara supaya bukan sahaja menjadi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat umum. Pengadu adalah seorang OKU. Tertuduh sebagai anggota polis tidak sepatutnya mencederakan mangsa,” kata Razali.

Majistret Nabihah kemudiannya menjatuhkan denda RM1,000 ke atas Taufik serta mengeluarkan perintah hukuman penjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Menurut MalaysiaKini, difahamkan tertuduh sedang dalam proses membayar denda berkenaan hari ini.

TMJ Gesa Siasatan Menyeluruh Dakwaan Pemandu OKU Dipukul

Terdahulu, seorang pemandu e-hailing OKU mendakwa dirinya dipukul oleh seorang pengiring keselamatan kenamaan.

Dia ketika itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur sebelum membuat laporan polis.

Namun pada malam sama, satu lagi laporan polis telah dibuat olehnya yang memaklumkan kes telah diselesaikan secara baik.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar walau bagaimanapun menggesa pihak berkuasa agar melakukan siasatan menyeluruh berhubung kes tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: TMJ Gesa Siasatan Menyeluruh Dilakukan Berhubung Kes Pemandu E-Hailing OKU Dipukul

Baca Artikel Berkaitan: Kes Pemandu E-Hailing Dakwa Dipukul Pengiring Kenamaan Sudah Selesai Cara Baik – Polis KL

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.