fbpx
Now Reading
FashionValet: SPRM Beku Akaun Syarikat & Persendirian, 11 Beg Tangan Turut Disita

FashionValet: SPRM Beku Akaun Syarikat & Persendirian, 11 Beg Tangan Turut Disita

Pihak SPRM turut menyita 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan sekitar RM200,000.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, usahawan serta pengasas bersama FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar telah menjadi perhatian ramai selepas diminta untuk memberikan penjelasan berhubung kerugian dialami pihak Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Susulan daripada kerugian tersebut pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertindak melakukan siasatan terhadap syarikat tersebut. Bukan hanya itu, pada 5 November pasangan suami isteri berkenaan turut dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan untuk membantu siasatan.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kerugian Pelaburan FashionValet: Vivy & Suami Mohon Maaf, Lepas Jawatan Dalam FV

Akaun persendirian dan syarikat milik pengasas FashionValet dibekukan bernilai RM1.1 juta

Terbaharu, SPRM telah bertindak membekukan beberapa akaun bank persendirian termasuk syarikat milik pengasas FashionValet itu yang bernilai sekitar RM1.1 juta.

SPRM membuat pembekuan terbabit berikutan dari siasatan yang sedang dilakukan terhadap pengasas syarikat itu berkaitan kerugian Khazanah dan PNB yang bernilai RM43.9 juta.

11 akaun persendirian, 6 akaun syarikat yang dibekukan untuk bantu siasatan

Menurut laporan Bernama yang memetik sumber, pada Isnin (4 November) lalu SPRM telah melakukan serbuan secara serentak di Fashionvalet Sdn Bhd (FashionValet), Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah serta PNB untuk mendapatkan dokumen berhubung kewangan untuk siasatan lanjut.

“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi ‘Op Favish’, kami telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri ini (Vivy dan Fadza) bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.

“Selain itu, SPRM juga telah merakam beberapa keterangan individu penting yang terdiri daripada pegawai kanan Khazanah, PNB, Fashionvalet, akauntan, penilai syarikat dan introducer,” ujar sumber itu.

SPRM geledah rumah, 11 beg tangan dan seutas jam mewah disita

Dalam satu lagi kenyataan yang berasingan, SPRM juga memaklumkan pihaknya telah menggeladah rumah pengasas syarikat terbabit di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 6 November.

Jelas sumber itu lagi, pasangan suami isteri berkenaan telah hadir ke SPRM sekitar jam 1 tengah hari bagi menyambung bagi memberikan keterangan sebelum dibawa ke kediamannya pada pukul 5.30 petang yang bertujuan untuk pembongkaran.

Katanya, serbuan di rumah pasangan berkenaan telah dijalankan 12 pegawai SPRM yang turut disertai dengan peguam mereka.

“Penggeledahan berakhir sekitar jam 8 malam dan antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.”

Azam Baki sahkan berhubung pembekuan dan pembongkaran

Pembekuan akaun dan pembongkaran terbabit turut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambahnya lagi, pasangan suami isteri berkenaan juga bakal hadir ke ibu pejabat SPRM pada hari ini (7 November) jam 10 pagi untuk menyambung semula memberikan keterangan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.