Kerabat Pahang, Tengku Eddie Akasya & 4 Lelaki Mengaku Tak Bersalah Cederakan Individu Guna Pisau
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dalam kawasan lot tanah bangsal kuda Jalan Teluk Sisek sekitar 12.20 tengah malam pada 6 Jun 2024.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Lima lelaki termasuk seorang kerabat diraja Pahang, Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, 20, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini (7 November) atas pertuduhan mencederakan seorang individu pada bulan Jun lalu.
Empat lelaki lain adalah Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39, Mohd Fouzi Md Nur, 44, Mohd Taufik Daud, 32, dan Khairul Azhar Rosli, 38.
Didakwa sengaja sebabkan kecederaan seorang lelaki dengan pisau
Memetik Bernama, kesemua mereka didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagin paha kanan Alias Awang, 44, dengan pisau.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dalam kawasan lot tanah bangsal kuda Jalan Teluk Sisek sekitar 12.20 tengah malam pada 6 Jun 2024.
Susulan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Boleh dihukum penjara, denda atau sebat jika sabit kesalahan
Jika disabitkan kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang, Shahrizat Ismail bersama Noor Aishah Mohd Amin dan B. Deevagaram Naidu.
Sementara, tertuduh pula diwakili peguam Y. Sheelan Samuagam, Datuk K. Santhra, Tee Yuan Sheng, K. Theivaendran dan Mohammed Badrulzzaman Abu Bakar.
Dalam prosiding hari ini, Shahrizat menawarkan jaminan RM10,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh berserta cadangan syarat tambahan kesemua mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain tidak menggangu mangsa sehingga kes selesai.
Peguam-peguam kesemua tertuduh mohon jaminan rendah dikenakan
Pun begitu, peguam Mohammed Badrulzzamaman yang mewakili anggota polis Mohd Fouzi memohon jaminan rendah dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan lelaki itu perlu menyara isteri dan anaknya yang masih bersekolah.
Sementara Peguam Y. Sheelan yang mewakili selebihnya termasuk Tengku Eddie memohon jaminan minima dikenakan dalam lingkungan RM5,000 terhadap kesemua anak guamnya itu.
Menurut Y. Sheelan, Khairul Azhar hanya bekerja sebagai penternak lembu dan Mohd Taufiq pula sebagai pekerja kontrak, manakala Tenku Eddie pula masih ditanggung ibu bapanya.
Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan dicadangkan pendakwaan.
Beliau turut menetapkan 11 Disember hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tengku Hassanal pandang serius isu lelaki dakwa dipukul kerabat diraja Pahang
Terdahulu, kecoh mengenai laporan media berhubung seorang lelaki yang mendakwa dirinya dipukul oleh kerabat diraja Pahang.
Difahamkan, punca serangan berkenaan adalah berhubung pertikaian berkaitan isu tanah di Rompin.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut memandang serius kejadian berkenaan dengan meminta pihak polis menjalankan siasatan seadilnya.
Baca Artikel Berkaitan: