fbpx

Mungkin Guna MyKad Untuk Semak Kelayakan Terima Subsidi Petrol RON95 – Rafizi Ramli [Video]

Jelas Rafizi Ramli, penyasaran ini akan beralih dari subsidi jenis pukal kepada subsidi bersasar bagi mengelakkan berlakunya sebarang ketirisan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu melibatkan subsidi minyak adalah salah satu topik yang sering menjadi tumpuan ramai lebih-lebih lagi apabila kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa ia hanya akan diberikan kepada golongan tertentu sahaja.

Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada 18 Oktober lalu, kerajaan bakal melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 dan akan memotong RM8 bilion subsidi bagi golongan 15% berpendapatan paling tinggi (T15).

Memetik laporan Astro Awani, penyasaran itu dijangka bermula pada pertengahan tahun 2025 dengan harga petrol RON95 kekal RM2.05 per liter buat 85% rakyat Malaysia.


Perlu Tunjuk IC Untuk Melayakkan Penerimaan Subsidi Petrol RON95

Menerusi video dimuat naik di laman X (@jasonyew), Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilihat menyampaikan ucapan penggulungan untuk Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam (6 November).

Dalam ucapannya itu, antara perkara yang menjadi tumpuan adalah mengenai subsidi petrol RON95 yang hanya akan diberikan kepada mereka yang layak sahaja dengan cara mengimbas kad pengenalan.

Jelas beliau lagi, penyasaran ini akan beralih dari subsidi jenis pukal kepada subsidi bersasar bagi mengelakkan berlakunya sebarang ketirisan.

“Seseorang pembeli perlu mengimbas MyKad di stesen minyak. Identitinya itu akan disemak dengan pangkalan data untuk mengesahkan kelayakan. Mereka yang layak akan menerima harga bersubsidi untuk petrol RON95,” kata Rafizi.

Demi mengekalkan inflasi pada harga yang rendah, Rafizi turut memaklumkan bahawa pihak kerajaan akan melaksanakan harga dua peringkat atau ‘Two Tier Pricing’.

Melalui kaedah ini, harga subdisi kekal kepada penerima yang layak dan hanya mereka yang tidak layak sahaja akan membayar harga penuh mengikut pasaran.


Orang Ramai Kongsi Pendapat Mengenai Pelaksanaan Ini

Pelaksanaan subsidi bersasar dengan cara mengimbas kad pengenalan di kaunter stesen minyak meraih perhatian masyarakat apabila ramai yang memberikan pendapat masing-masing mengenai hal ini.

Segelintir pengguna X menganggap cara ini agak leceh jika memerlukan mereka untuk beratur panjang dan terpaksa menunggu lama meskipun sudah wujud aplikasi canggih seperti Setel.

“Dah elok guna Setel, set dalam kereta je. Tak pasal kena beratur balik. Come on,” luah netizen.

Susulan itu, wujud cadangan dari masyarakat agar pihak kerajaan berkolaborasi bersama Setel memandangkan segala data termasuk kad pengenalan sudah disimpan dalam aplikasi tersebut.

Namun, seorang pengguna media sosial pula menyatakan bahawa kaedah yang diperkenalkan ini boleh dilakukan dengan syarat semakan itu dibuat di terminal minyak sahaja tanpa perlu beratur di kaunter.

Perkara lain yang turut menjadi kebimbangan adalah jika capaian Internet di sesebuah kawasan mengalami gangguan dan boleh menjejaskan semakan untuk mendapatkan harga petrol bersubsidi.

Sumber: X
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.