ATM Sahkan 6 Anggota Malbatt Cedera Terkena Serpihan Letupan Israel Di Lubnan
Difahamkan, salah seorang anggota Malbatt 850-12 yang menjadi mangsa insiden itu mengalami kecederaan di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak malam tadi (7 November), negara digemparkan dengan berita beberapa askar Malaysia yang menjadi pasukan pengaman di Selatan Lubnan tercedera.
Anggota-anggota dari Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) itu dikatakan tercedera akibat terkena serpihan letupan serangan dron Israel yang mensasarkan orang awam.
ATM sahkan insiden letupan di Lubnan
Terbaharu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi satu kenyataan mengesahkan mengenai insiden letupan itu yang berlaku berdekatan Stadium Saida.
Menurut ATM, letupan dikatakan berlaku semalam pada jam 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 waktu Malaysia ketika anggota Malbatt 850-12 sedang bergerak dari Beirut ke Kem Marakah.
“Letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12,” katanya.
Enam anggota Malbatt 850 cedera ringan
Menurutnya lagi, kejadian tersebut menyebabkan seramai enam orang anggota Malbatt 850 mengalami kecederaan ringan iaitu lima anggota Malbatt 850-12 dan seorang anggota Malbatt 850-11.
Difahamkan, salah seorang anggota Malbatt 850-12 yang menjadi mangsa insiden itu mengalami kecederaan di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm).
Anggota cedera di tangan telah dibawa ke hospital untuk rawatan
Jelas ATM, anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan Malbatt 850-11.
“ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden dari masa ke semasa.
“ATM kekal komited terhadap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya lagi.
Sebagai info, pasukan Malbatt 850-12 baru sahaja dihantar ke Lubnan pada 6 November bagi menggantikan Malbatt 850-11 yang telah berkhidmat selama setahun.
Kumpulan pertama pasukan yang dihantar ini terdiri daripada 220 orang kontinjen yang menjalani misi pengamanan di sana.
Sementara itu, memetik Harian Metro, Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) dalam satu kenyataan mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak meletakkan pasukan pengaman dan orang awam berada dalam keadaan bahaya.
“Perbezaan harus diselesaikan di meja rundingan, bukan melalui keganasan,” kata Unifil.