Persatuan Takaful Malaysia Lancar Pelan Transformasi Strategik, Mahu Pacu Pertumbuhan Industri
Majlis pelancaran Hijrah27 disaksikan oleh Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid serta tokoh industri termasuk dari Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dan lain-lain.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Persatuan Takaful Malaysia (MTA) hari ini (8 November) secara rasmi melancarkan Hijrah27, sekaligus memperkukuhkan pelan transformasi strategik yang menetapkan hala tuju masa depan industri Takaful.
Pelancaran ini menandakan komitmen bersama pengendali Takaful ke arah perkembangan dan evolusi industri dengan kerangka yang memperincikan peta jalan untuk pertumbuhan mampan, akses yang lebih luas, inovasi serta nilai sosial yang berimpak tinggi.
Majlis disaksikan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid serta tokoh industri termasuk dari Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dan pihak berkepentingan lain.
Bertemakan ‘Sama Berlindung, Sama Beramal, Sama Berjaya… Takaful Untuk Semua’, ia menekankan komitmen kukuh pengendali Takaful untuk mengangkat Takaful sebagai pilihan perlindungan utama bagi semua rakyat Malaysia sambil memperkukuh kepimpinan negara dalam kewangan patuh Syariah.
Bertonggakkan kemajuan selama empat dekad, Hijrah27 memperkukuh fasa seterusnya dalam pertumbuhan industri Takaful melalui lapan teras strategik, dan ini termasuk inovasi digital dan pengukuhan tadbir urus pengawalseliaan.
Pada dasarnya, rangka kerja ini memberi tumpuan kepada peningkatan pemahaman orang ramai tentang Takaful dan meluaskan jangkauan kepada mereka yang tidak mempunyai akses (underserved), termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Ia juga bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme di kalangan wakil Takaful dan mempromosikan inisiatif yang sejajar dengan aspek persekitaran, sosial, dan tadbir urus (ESG).
Hijrah27 ini menangani 19 cabaran utama yang merangkumi kesedaran, pengedaran, digital, daya saing produk, bakat dan ESG, yang dikenal pasti melalui penglibatan dengan pihak berkepentingan industri.
Tonggak strategik Hijrah27 disokong oleh faktor kejayaan penting iaitu membina budaya organisasi yang diperkasakan, memastikan penyatuan dan disiplin di seluruh sektor, serta meningkatkan kerjasama rentas industri. Melalui komitmen ini, Hijrah27 dijangka dapat memacu pertumbuhan yang berkesan dan mampan dalam industri Takaful di Malaysia.
Hijrah27 dilancarkan tidak lama selepas MTA memperkenalkan Kad Skor Maqasid al- Shariah (MSS) pada Oktober 2024. Tanda ukur yang pertama seumpanya, MSS menggabungkan aspek kualitatif yang memberi tumpuan kepada sokongan inisiatif terhadap komuniti rentan dan memperkukuh inklusiviti untuk mendorong penerimaan Takaful yang lebih luas. MSS akan mentarikfkan semula petunjuk prestasi utama bagi kecapaian etika dan operasi. Apabila tanda ukur ini bergabung di dalam Hijrah27, ia akan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju serta komitmennya dalam memberikan nilai kewangan dan sosial.
Dalam acara yang sama, seiring dengan sambutan ulang tahun ke-40 industri Takaful di Malaysia, MTA telah melancarkan laporan khas yang merangkumi pencapaian penting industri, trend, dan pandangan keseluruhan pasaran.
Pengerusi MTA, Elmie Aman Najas berkata, “Industri Takaful telah berkembang dengan pesat dalam tempoh empat dekad, bermula dari penetapan prinsip-prinsip dan rangka kerja asas hingga perluasan kehadirannya di pasaran dan penaiktarafan struktur tadbir urus. Peningkatan kadar penembusan juga menggalakkan dengan lonjakkan kepada 20% berbanding 15%. Ini mencerminkan penerimaan Takaful yang semakin meningkat. Dalam tempoh 10 tahun sahaja, aset Takaful telah meningkat lebih dua kali ganda kepada RM55.6 bilion berbanding RM23 bilion pada 2014.”
“Memandang ke hadapan, kami mahu menjadikan Takaful lebih relevan, mudah diakses, dan dapat memberi impak. Itulah mandat kami. Kami bercita-cita besar menjadikan perlindungan Takaful lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat Malaysia yang pelbagai, memangkin dan memastikan kelestarian momentum pertumbuhan Takaful. Kami akan terus menekankan kerjasama, kesedaran yang menyeluruh, serta inovasi produk dan perkhidmatan untuk memperluas perlindungan kepada golongan yang tiada akses (unserved) dan kurang mendapat akses (underserved), agar setiap rakyat Malaysia mempunyai rangkaian keselamatan sosial,” tambahnya.
Hijrah27 meneruskan kejayaan Pelan Pembaharuan MTA 2022-2023 yang dikenali sebagai ISLAH23, dan menyelaraskan misi MTA dengan matlamat visi Pelan Induk sektor Kewangan 2026 serta rangka kerja industri Perantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT).
Bagi meraikan sambutan Ruby Jubilee industri, MTA telah menganjurkan majlis Bacaan Yassin Perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 7 November 2024 yang turut disiarkan secara langsung untuk mereka yang ingin menyertai majlis dalam talian. Majlis tersebut termasuk solat Maghrib berjemaah, bacaan Yassin, dan tazkirah.
Dihadiri oleh kira-kira 500 peserta termasuk ahli komuniti Syariah dan ulama dari 30 masjid di seluruh negara, majlis ini bertujuan memperkukuh silaturrahim dikalangan komuniti serta mengambil keberkatan doa untuk kejayaan yang berterusan industri Takaful serta kemakmuran dan kesejahteraan negara. Ia menjadi simbol penghargaan, mengukuhkan asas industri Takaful dalam nilai-nilainya sambil memperteguh komitmen bersama terhadap pertumbuhan industri yang beretika dan selaras dengan Syariah