fbpx
Now Reading
Guru Didakwa Paksa Murid Beli Insurans Sebelum Boleh Dilantik Jadi Pengawas, JPN Selangor Sahkan Terima Aduan

Guru Didakwa Paksa Murid Beli Insurans Sebelum Boleh Dilantik Jadi Pengawas, JPN Selangor Sahkan Terima Aduan

Menurut Pengarah JPN Selangor, pihaknya masih meneliti aduan berkenaan dan siasatan akan dilaksanakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengesahkan pihaknya telah menerima aduan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh sepasang suami isteri yang juga guru di sebuah sekolah di Klang.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu didakwa memaksa murid-murid di sekolah berkenaan membeli insurans daripada mereka pada baru-baru ini.

Masih meneliti aduan dan siasatan akan dijalankan oleh PPD Klang

Susulan itu, Pengarah JPN Selangor, Jafri Abu berkata, pihaknya masih meneliti aduan berkenaan dan siasatan akan dilaksanakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.

“Ya, betul dan dalam makluman JPN. dalam penelitian JPN dan siasatan akan dilaksanakan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang,” katanya dipetik MalaysiaKini.

Jafri berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang ibu menerusi surat aduan yang menyatakan anaknya telah dipaksa membeli insurans bagi membolehkan dia dilantik sebagai pengawas sekolah atau pembimbing rakan sebaya (PRS).

Perlu beli insurans nyawa sebelum dilantik jadi pengawas atau PRS

Dalam surat itu, ibu terbabit mendakwa anaknya yang bersekolah di sebuah sekolah rendah di Simpang Lama, Klang telah dimaklumkan untuk membeli insurans nyawa daripada kedua guru berkenaan.

Dakwa wanita itu, insurans berkenaan perlu dibeli terlebih dahulu sebelum anaknya boleh dilantik menjadi pengawas sekolah dan PRS.

Bagaimanapun, keluarga murid berkenaan terpaksa menolak tawaran insuran terbabit kerana mempunyai masalah kewangan.

Susulan itu, ibu berkenaan mendakwa anaknya tidak dilantik menjadi seorang pengawas atau PRS.

Dah tolak tawaran tetap dipaksa beli insurans nyawa

Meskipun telah menolaknya, wanita itu mendakwa bahawa pasangan suami isteri guru berkenaan tetap memaksa anaknya membuat pembayaran untuk membeli insurans nyawa.

Menurutnya, dia juga sudah membuat aduan kepada pihak sekolah, namun mendakwa tiada tindakan yang diambil.

“Sehubungan itu, saya dengan penuh hormat memohon agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan PPD mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat supaya perkara ini tidak berulang lagi pada masa depan,” tulisnya.

Sesalinan surat aduan itu turut dikongsikan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan timbalannya Wong Kah Woh serta jabatan pendidikan negeri.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.