MyIPO Cadang Terengganu Patenkan Produk Ikan Celup Tepung
Menurut Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), produk popular itu (ikan celup tepung) perlu dipatenkan kerana sinonim dan menjadi tanda dagangan negeri tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Jika berkunjung ke Terengganu, pasti tak sah jika tidak mencuba menu terkenal mereka, ikan celup tepung atau lebih dikenali dengan gelaran ICT.
Selain daripada keropok lekor hasil air tangan masyakat tempatan, ikan celup tepung juga merupakan menu yang sering menjadi pilihan ramai.
Ini kerana rasa ikan yang segar disalut dengan tepung pasti akan membuat individu yang menikmati hidangan tersebut teringat-ingat.
Dek kerana keunikan rasa menu itu, ada peniaga khususnya di luar Terengganu turut menjual juadah berkenaan.
MyIPO Cadang Terengganu Patenkan Ikan Celup Tepung
Terbaharu, kerajaan negeri Terengganu dicadangkan agar mempatenkan produk ikan celup tepung bagi melindungi serta mengelakkan menu itu daripada diciplak.
Menurut Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Ts Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, produk popular itu perlu dipatenkan kerana sinonim dan menjadi tanda dagangan negeri tersebut.
“Untuk ICT (ikan celup tepung) merupakan produk yang terkenal di Terengganu tetapi tidak dijadikan sebagai satu ‘trademark’ di Terengganu kerana daripada puluhan peniaga sepanjang pantai di Penarik sehingga ke Besut itu kebanyakan mereka menggunakan nama sendiri.
“Ada juga yang dilihat menggunakan nama mereka untuk makanan itu, namun orang di tempat lain masih boleh ciplak produk tersebut.
“Jika selepas ini mereka mahu daftarkan ‘ICT’ atas nama mereka, boleh dan kerajaan Terengganu boleh fokuskan untuk patenkan ikan celup tepung,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Boleh Paten Ikan Celup Tepung Seperti Keropok Losong
Tambah Dr Mohd Zuhan, menu tersebut boleh dipatenkan sama seperti produk keropok losong yang mana sebelum ini telah didaftarkan dan peniaga di lokasi lain tidak boleh sewenangnya menggunakan jenama yang sama.
“Kita menggalakkan entiti di bawah kerajaan negeri supaya mendaftarkan ikan celup tepung kerana produk itu lahir di Terengganu.
“Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) misalnya boleh daftarkan sebagai penama kepada produk tersebut tetapi pada masa yang sama usahawan itu sendiri boleh daftarkan sebagai cap dagangan kepada produk keluaran mereka.
“Ramuan ikan celup tepung boleh daftar sebagai hak cipta agar ia dilindungi dan tidak boleh ditiru oleh orang lain.
“Selain itu, logo produk ikan celup tepung juga boleh didaftarkan di bawah ‘industrial design’. Komponen di bawah harta intelek ini boleh diasingkan bagi membolehkan setiap perkara yang ada dalam satu-satu perniagaan itu dilindungi,” katanya lagi.
Cadangan Patenkan Produk Ikan Celup Tepung Dalam Kajian
Dalam pada itu, Pengerusi YPU T Ahmad Shabirin Awalludin menjelaskan cadangan agar mempatenkan produk ikan celup tepung sedang dalam kajian dan usaha kerajaan negeri.
“Sebelum ini kita telah mengambil pendekatan untuk melakukan ‘geographical indication’ (GI) terutama bagi produk songket dan batik.
“Produk songket fokus di sekitar Kuala Terengganu, ukiran kayu di Besut dan anyaman pandan atau daun mengkuang di Marang.
“Jadi, kita akan berusaha daftarkan ICT sebagai salah satu industri hiliran terutama di Penarik, Setiu kerana ramai pengusaha di situ selain di beberapa tempat di Kuala Nerus.
“Usahawan juga boleh patenkan produk mereka sendiri manakala kerajaan negeri akan ambil peranan bagi skop yang lebih luas,” jelasnya.
Untuk info, MyIPO telah menerima sebanyak 47,283 permohonan pendaftaran harta intelek di seluruh negara dalam tempoh lima tahun terakhir sehingga 2024.
Baca Artikel Berkaitan: Demi Nilai Esklusif, Perlis Tegas Pertahan Nama Harumanis
Baca Artikel Berkaitan: Tak Setuju Mak Neelofa Patenkan Jenama ‘Harimau Menangis’, Netizen Pakat Buat Aduan Di MyIPO