Baru-baru ini, tular mengenai seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Melayu, Kluang, Johor pada Selasa lalu (5 November).
Difahamkan, laporan mengenai kehilangan remaja yang dikenali sebagai Muhammad Syawal itu diterima oleh pihak polis pada Khamis (7 November) selepas beberapa hari kehilangannya.
Muhammad Syawal dikatakan dilihat kali terakhir berada di rumahnya pada jam 7.30 pagi Selasa. Ahli keluarga sudah mencari remaja itu di rumah saudara-mara, jiran-jiran dan rakan namun tidak ditemui.
Pergi lepak rumah kawan main PS2
Terbaharu, memetik Kosmo, kehilangan Muhammad Syawal yang dikatakan memberi alasan tidak sihat sebagai helah enggan ke sekolah akhirnya terjawab apabila dia pergi melepak di rumah kawannya untuk bermain permainan video ‘game’ PlayStation 2.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, ibu bapanya menyedari keberadaan remaja itu di rumah kira-kira pukul 3.30 pagi semalam (10 November).
Pulang ke rumah masa ibu bapa tiada untuk makan dan mandi sebelum keluar semula
“Ketika ditanya oleh ibunya, remaja berkenaan menyatakan dirinya pergi ke rumah kawan yang juga di Kampung Melayu untuk melepak dan bermain permainan PS2.
“Remaja berkenaan turut menyatakan dirinya ada pulang ke rumah dalam tempoh lima hari itu ketika kedua ibu dan bapanya tiada di rumah untuk makan dan mandi sebelum keluar semula ke rumah kawannya itu,” katanya.
Susulan itu, ibu bapa Muhammad Syawal yang juga pengadu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk menarik semula laporan selepas mendapat anak mereka berada dalam keadaan baik dan tiada apa-apa yang mencurigakan.