Restoran Nasi Lemak Terkenal Caj RM1 Bilik Aircond: “Ia Bukan Kesalahan” – KPDN
Hasil pemeriksaan KPDN mendapati caj perkhidmatan bilik berhawa dingin itu dikenakan sebanyak RM1 kepada setiap golongan dewasa manakala tiada caj dikenakan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada minggu lalu, tular di media sosial resit daripada sebuah restoran nasi lemak yang popular di Kuala Lumpur.
Melalui hantaran itu, tertera pada resit berkenaan caj RM1.00 dikenakan bagi setiap seorang yang menggunakan bilik berhawa dingin di kedai makan tersebut.
Perkara berkenaan nyata mendapat perhatian dan kecaman ramai. Ini kerana majoriti pengguna media sosial berpendapat tidak seharusnya pelanggan dicaj RM1.00 hingga ada yang mahu pihak berkuasa mengambil langkah sepatutnya berhubung isu tersebut.
Stop la bawak budaya semua benda nak caj ni, sampai ekon pun nak caj. biar satu negara sebelah je yang amalkan benda benda macam ni. pic.twitter.com/sZspIPfdyB
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) November 7, 2024
Tidak Jadi Satu Kesalahan Restoran Caj RM1 Kepada Pelanggan
Terbaharu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjelaskan tindakan restoran nasi lemak terkenal yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang mengenakan caj RM1 kepada pelanggan bagi bilik makan berhawa dingin itu bukanlah satu kesalahan.
Malah, pihak restoran telahpun mempamerkan perkara tersebut di pintu masuk kedai makan berkenaan.
Jelas KPDN, pihaknya mengambil maklum berhubung hantaran yang tular di platform X itu.
“Sepasukan anggota penguat kuasa dihantar ke lokasi restoran nasi lemak terkenal itu yang terletak di Kampung Baru.
“Hasil pemeriksaan mendapati harga bagi makanan, minuman serta caj perkhidmatan mematuhi dasar harga terangkum seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Notis Caj Telah Dipamerkan Di Pintu Masuk Untuk Makluman Pelanggan
Tambah KPDN, hasil pemeriksaan lanjut mendapati caj perkhidmatan bilik berhawa dingin itu dikenakan sebanyak RM1 kepada setiap golongan dewasa manakala tiada caj dikenakan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah.
“Pemerhatian anggota penguat kuasa juga mendapati notis caj RM1 dipamerkan dengan jelas di kawasan pintu masuk serta di cermin bilik berhawa dingin yang mudah dilihat oleh pelanggan.
“Pekerja premis juga akan memberitahu terlebih dahulu kepada pelanggan yang ingin masuk ke dalam bilik berhawa dingin berkenaan,” katanya.
Restoran Dah Kenakan Caj RM1 Sejak 3 Tahun Lalu
Jelas KPDN lagi, berdasarkan keterangan oleh pekerja restoran berkenaan, caj RM1 itu telahpun dikenakan kepada pelanggan sejak tiga tahun lalu buat mereka yang mahu menggunakan bilik berkenaan dan resit akan diberikan sebagai bukti pembayaran.
“Pemeriksaan di bilik makan berhawa dingin mendapati penghawa dingin berfungsi dengan baik dan pelanggan yang menggunakan bilik itu maklum mengenai caj yang dikenakan serta tiada aduan dalam perkara ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati pematuhan tanda harga dan caj di restoran ini adalah jelas dan tiada kesalahan yang dikesan mengikut perundangan yang dikuatkuasakan oleh pihak KPDN,” ujarnya.
Pada masa sama, KPDN juga turut mendapat makluman bahawa pihak restoran telah membuat satu laporan kepada pihak berkuasa berhubung hantaran tular itu sebagai langkah menjaga nama baik restoran berkenaan.
Baca Artikel Berkaitan: Isteri Mawi Dakwa Dicaj RM1,260, Pemilik Kedai Tampil Beri Penjelasan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: KPDN Jalankan Siasatan Selepas Pelancong Dakwa Dicaj RM120 Untuk Servis Potong Rambut