Kadet UPNM Terlibat Kes Buli Boleh Dihentikan – Khaled Nordin
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, berkata kadet UPNM yang terlibat kes buli juga perlu membuat bayaran balik biasiswa yang diterima.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kes buli membabitkan penuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah beberapa kali dilaporkan sebelum ini.
Pada 10 November lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Bin Mohd Isa mengesahkan bahawa satu laporan polis mengenai kejadian buli di institusi tersebut telah dibuat.
Menerusi satu kenyataan media, dilaporkan seorang pelajar tahun satu UPNM di Kem Sungai Besi telah dipijak sehingga cedera parah.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar UPNM Dipijak Senior Hingga Cedera Parah, Kementerian Pertahanan Serah Siasatan Pada PDRM
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Adalah Kegilaan” – Anwar Ibrahim Ulas Dakwaan Kes Buli Di UPNM
Kementerian Pertahanan Akan Pasang Lebih Banyak CCTV Di Blok Asrama
Hari ini (12 November), Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya sedang mengambil langkah-langkah tambahan bagi mencegah insiden dera dan buli dalam kalangan kadet UPNM.
Menurut beliau, salah satu langkah adalah mengasingkan asrama dan latihan ‘roll call’ bagi pelajar tahun satu daripada penuntut senior.
Selain itu, lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang oleh Kementerian Pertahanan di sekitar blok asrama Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM.
Pelajar Terlibat Kes Buli Boleh Dihentikan & Perlu Bayar Balik Biasiswa
Khaled dalam masa sama menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap tingkah laku kekerasan yang berlaku dalam kalangan kadet UPNM.
Beliau turut memberi amaran bahawa pelajar yang terbabit dengan kes buli boleh dihentikan, selain perlu membuat bayaran balik biasiswa yang diterima.
“Kementerian tidak akan kompromi dalam perkara ini dan mengambil tindakan tegas termasuk memberhentikannya daripada menjadi kadet.
“Kita juga akan menuntut balik bayaran tanggungan yang kita telah berikan sepanjang individu itu menjalani latihan sebagai kadet di ALK-UPNM,” katanya.
Kementerian Pertahanan Akan Bekerjasama Dengan PDRM
Di samping itu, Khaled berkata dalam isu kegiatan buli di UPNM, pihak Kementerian Pertahanan mengamalkan keterbukaan dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sebarang siasatan berkaitan.
“Kita (Kementerian Pertahanan) akan bekerjasama dengan semua pihak, ia kerana kita mempunyai hukuman yang terbatas, paling maksimum ialah untuk memecat daripada menjadi kadet,” katanya dipetik MalaysiaKini.
Beliau sebelum ini menegaskan bahawa insiden buli di UPNM tidak wajar berlaku serta merosakkan imej institusi berkenaan dan institusi pendidikan tinggi lain.
Sultan Ibrahim Titah Kes Buli Di ALK UPNM Diambil Serius
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan bahawa budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana menjejaskan kesejahteraan pelajar serta mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi di dalam negara.
Menerusi satu hantaran di akaun Facebook, Baginda bertitah bahawa kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sehingga pernah menyebabkan kematian.
Tambah Baginda yang pernah menjalani latihan ketenteraan, latihan keras adalah perkara biasa bagi pasukan tentera yang bertujuan untuk membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat.
“Namun ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di ALK UPNM,” titah Seri Paduka Baginda.
4 Kes Buli Di UPNM Telah Dilaporkan Media Baru-Baru Ini
Sejak kebelakangan ini, sekurang-kurangnya empat kes buli membabitkan penuntut di UPNM telah dilaporkan media sehingga menjadi buah mulut masyarakat.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan Putrajaya telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam pesalah terbabit dalam insiden buli sehingga menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Pada 8 November lalu pula, Pegawai kadet Amirul Iskandar Norhanizan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan Muhammad Salman Mohd Saiful Surash menggunakan seterika wap panas pada 22 Oktober.
Malah peguam Datuk Ahmad Zahiril Muhaiyar dilaporkan ingin membuka semula kes kematian seorang lagi penuntut UPNM, Amirul Nashriq Othman, yang didakwa oleh ibu bapanya terdapat unsur penderaan sebelum meninggal dunia akibat lemas.
Baca Artikel Berkaitan: “Tiada Motif Sebenarnya” – Gurauan Melampau Dipercayai Punca Pelajar UPNM Ditekap Seterika
Baca Artikel Berkaitan: Peguam Jenayah Terkenal Ingin Buka Semula Kes Mati Lemas Penuntut UPNM, Amirul Nashriq
Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] Kes Kematian Zulfarhan: 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung