Kelantan Cadang Gubal Semula 16 Kesalahan Syariah Yang Terbatal Sebelum Ini
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan turut mendedahkan Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah telahpun bermesyuarat pada 30 Oktober yang lalu berhubung perkara tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Masihkah anda ingat sekitar Februari lalu, Mahkamah Persekutuan telah mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah?
Panel sembilan hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan perkara tersebut selepas mendapat keputusan majoriti 8-1 sebaik membenarkan petisyen yang dikemukakan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Dalam keputusan berkenaan, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang.
Antara 16 peruntukan tersebut antaranya adalah seperti Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 14 (Liwat), Seksyen 16 (persetubuhan dengan mayat) dan Seksyen 31 (Gangguan Seksual).
Kerajaan Negeri Akan Gubal & Laksanakan Semula 16 Kesalahan Di Bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019
Terbaharu, kerajaan negeri Kelantan memaklumkan mereka akan memastikan 16 kesalahan peruntukan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang sebelum ini terbatal akan digubal dan dilaksanakan semula sebagai menegakkan syariat Islam.
Menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, pihaknya tidak pernah berundur dalam memastikan kanun jenayah syariah yang diluluskan itu dilaksana dan menggubal semula 16 seksyen yang terbatal sebelum ini.
Tambah Mohd Nassuruddin, beliau difahamkan telah ada perbincangan dibuat pada bulan lalu berhubung penggubalan semula enakmen tersebut.
“Menyedari amanah mentadbir sebuah kerajaan amat berat, saya bersama saf kepimpinan kerajaan negeri sentiasa berusaha secara berjemaah untuk menunaikan amanah ini dengan sebaiknya tidak kira dalam aspek pembangunan Islam, pendidikan, ekonomi dan termasuk juga aspek perundangan.
“Pada masa sama, terima kasih juga kepada kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan semua pihak yang menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan negeri dalam meninggikan syiar Islam di bumi Serambi Mekah ini,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Telah Adakan Mesyuarat
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud mendedahkan Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah telahpun bermesyuarat pada 30 Oktober yang lalu.
“Dalam jawatankuasa berkenaan turut diwujudkan Jawatankuasa Teknikal Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah terdiri daripada 15 ahli jawatankuasa termasuk pakar undang-undang, tokoh akademik dan pengamal syariah yang berperanan untuk mencadang dan menggubal semula enakmen yang dibatalkan itu.
“Draf gubalan semula 16 enakmen kanun syariah yang terbatal ini dijangka siap pada tahun ini sebelum dibawa dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun hadapan.
“Perkara ini dilakukan kerana mendapat sokongan daripada rakyat dan juga kerjasama majlis agama negeri,” ujarnya.
Sebagai rekod, isu ini turut menjadi bualan panas di media sosial sehingga wujudnya ugutan terhadap Nik Elin.
Baca Artikel Berkaitan: PDRM Kenal Pasti Pemilik Akaun Media Sosial Ugut Bunuh Nik Elin
Baca Artikel Berkaitan: Seksyen 498 KK Untuk Dakwa Lelaki Goda Isteri Orang Dimansuhkan
Baca Artikel Berkaitan: Batal Seksyen 498: Ibarat Halalkan Perbuatan Lelaki Curang Bersama Isteri Orang, Kata Pakar