Lelaki Tergamak Bunuh Ibu, Simpan Mayat Dalam Peti Sejuk Beku Selama 3 Tahun
Difahamkan, suspek menghubungi talian kecemasan kerana tidak sihat sebelum pasukan yang tiba dimaklumkan mengenai mayat ibunya yang disimpan dalam peti sejuk beku.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Siapa sangka, seorang lelaki di Kuala Lumpur dipercayai tergamak membunuh ibunya sendiri sebelum menyimpan mayat wanita berkenaan di dalam peti sejuk beku.
Lebih menyedihkan, mayat wanita terbabit juga dibiarkan di dalam peti sejuk terbabit sejak tiga tahun lalu.
Perbuatan lelaki berusia 50-an itu bagaimanapun terbongkar selepas kediamannya di Jalan Hujan Abu 6, Taman OUG, diperiksa pasukan polis yang menerima panggilan daripada suspek kira-kira 9 pagi tadi (12 November).
Difahamkan, suspek menghubungi talian kecemasan kerana tidak sihat sebelum pasukan yang tiba dimaklumkan mengenai mayat ibunya yang disimpan dalam peti sejuk beku.
Pukul ibu sebelum balut dengan tuala dan plastik
Menurut sumber yang dipetik Harian Metro, suspek mendakwa membunuh wanita berusia 80-an itu di kediamannya pada Mac 2021.
“Mangsa dipercayai dipukul sebelum dibalut dengan tuala dan plastik lalu diletakkan dalam peti ais itu.
“Suspek mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik,” katanya.
Polis tahan suspek, mayat mangsa dibawa ke PPUM untuk bedah siasat
Susulan laporan itu, sumber berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan.
Ketua Polis Daerah Brickfield, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood pula dilaporkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung kes terbabit dalam masa terdekat.