Ini Respon Azalina Selepas Peguam Waris Sulu Dakwa Bebas Sewakan Sabah Kepada Filipina & China
Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kerajaan Malaysia akan mencabar sebarang tindakan menyewakan Sabah kepada negara lain oleh pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Masyarakat Malaysia sedia maklum bahawa waris Kesultanan Sulu sebelum ini telah membuat tuntutan ke atas negeri Sabah yang dikatakan miliknya.
Namun pada 6 November lalu, Mahkamah Agung Perancis memutuskan untuk menolak sepenuhnya cabaran perundangan berkaitan Sabah yang sekaligus memberi kemenangan buat Malaysia.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, keputusan itu bermakna undang-undang Perancis tidak mengiktiraf asas awal yang membawa kepada award akhir, iaitu Malaysia perlu membayar pampasan kira-kira USD15 bilion.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Tuntutan Sulu: Hukuman Penjara Stampa Bukti Kesungguhan Kerajaan Pertahan Kedaulatan Negara
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Akan Wujudkan Laman Web Khas Lawan Tuntutan Sulu, Fuad A Kiram Diklasifikasi Sebagai Pengganas
Peguam Waris Kesultanan Sulu Dakwa Sabah Boleh Disewakan Kepada Negara Lain
Walau bagaimanapun dalam satu perkembangan terbaharu, peguam utama bagi ‘waris’ Kesultanan Sulu, Paul Cohen, menyifatkan kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Perancis adalah satu ‘own goal’ yang merugikan Malaysia.
Dia mendakwa keputusan itu bermakna anak guamnya bebas untuk menyewakan Sabah kepada negara lain termasuk China dan Filipina.
Bercakap kepada New Straits Times, Cohen mendakwa bahawa dengan award terakhir oleh peguam Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa, anak guamnya akan melepaskan ‘hak’ mereka ke atas Sabah dengan tukaran bayaran sebanyak US$15 bilion (RM66.8 bilion).
“Jika Malaysia menerima keputusan Mahkamah Agung Perancis, mereka menerima bahawa kedaulatan Sabah adalah di bawah waris Kesultanan Sulu. Setiap keputusan mahkamah dalam kes ini, termasuk di Perancis, menemukan terdapat perjanjian pajakan sebagai sewa untuk menggunakan Sabah.
“Tiada sesiapa menentang bahawa pajakan itu bergantung kepada pembayaran dan Malaysia telah melanggarnya apabila gagal membuat bayaran,” katanya.
Dakwa Cohen, menerusi keputusan di Perancis, waris Sulu bebas untuk menamatkan pajakan itu mengikut terma sendiri dan lakukan apa sahaja yang mereka mahu dengan negeri Sabah.
Dia ketika itu berkata Azalina akan ‘berasa tidak senang’ jika waris Sulu membuat keputusan untuk memindahkan pajakan kepada penyewa lain.
“Tuntutan Ke Atas Sabah Penipuan Sulu” – Azalina Othman
Azalina bagaimanapun menyangkal dakwaan Cohen dan menegaskan bahawa tuntutan ke atas negeri Sabah tersebut adalah ‘penipuan Sulu’ atau ‘Sulu fraud’, lapor NST.
Beliau juga mengingatkan bahawa Malaysia harus berwaspada dengan sebarang percubaan pada masa hadapan untuk mencabar keputusan di Mahkamah Agung Perancis yang menghormati kedaulatan Malaysia dan memelihara integriti timbang tara (arbitration) antarabangsa.
“Sangat mengecewakan melihat masih ada individu tertentu, didorong oleh motif tersendiri atau tekanan dari pelabur luar, cuba untuk memutarbelitkan fakta dan menyalahertikan sifat sebenar keputusan mahkamah,” katanya.
“Cubalah, Kita Akan Lawan” – Azalina Othman
Terbaharu hari ini (13 November), Azalina menyifatkan tindakan mahu menyewakan Sabah kepada negara lain sebagai tidak masuk akal.
Beliau berkata pihak waris Kesultanan Sulu bebas berbuat demikian, namun tindakan itu akan dicabar oleh kerajaan Malaysia.
“Cubalah, apa saya nak buat kalau dia (Sulu) sudah fikir macam itu tanya dia. Kita negara berdaulat dan merdeka pada tahun 1957 dan Sabah jadi sebahagian daripada Malaysia.
“Kita ada Suruhanjaya Cobbold 1962 dan referendum jadi, (apa) dia cakap saya rasa tidak masuk akal tapi sebagai peguam dia ada hak, kalau rasa anak guam dia ada hak itu percakapan dia tapi jawapan saya cubalah, kita akan lawan,” katanya.
Untuk info, Suruhanjaya Cobbold 1962 yang bebas dan berkecuali ditubuhkan pada 17 Januari 1962 bagi mengkaji pendapat dan pandangan rakyat di Borneo Utara dan Sarawak berhubung gagasan Malaysia.