Pelajar Dipercayai Khayal Vape Sebelum Terjatuh Dari Bumbung Pejalan Kaki Telah Digantung Sekolah
Sebelum ini, Pengarah Pendidikan Perlis mendedahkan pelajar tingkatan dua itu didapati menghisap vape ketika hujung waktu rehat semasa sesi pembelajaran dan menjadi khayal.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (13 November), media melaporkan seorang pelajar tingkatan dua cedera selepas terjatuh dari bumbung pejalan kaki sekolahnya di Kangar, Perlis.
Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin, mangsa dipercayai terjatuh akibat khayal selepas menghisap vape dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi.
Pelajar berkenaan kemudiannya dilihat menjadi tidak terkawal dan meracau hingga pihak sekolah terpaksa menghubungi pihak polis. Dia dibawa ke Klinik Kesihatan Kangar untuk pemeriksaan lanjut bagi ujian saringan air kencing.
Namun, hasil ujian air kencing menunjukkan negatif dan mangsa telah dibawa pulang oleh waris dan berada dalam keadaan stabil serta waras.
Pelajar & Dua Rakan Digantung Sekolah
Terbaharu, pelajar berkenaan telah dikenakan tindakan gantung sekolah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, pihak sekolah telah mengambil tindakan penggantungan terhadap pelajar terbabit bersama dua rakannya atas kesalahan menghisap vape dalam kawasan sekolah.
Jelas Yusharifuddin, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 10.50 pagi.
“Kejadian itu dipercayai berlaku selepas pelajar terbabit menghisap vape sehingga badannya menjadi panas dan khayal.
“Pelajar itu kemudian turun dari tingkat satu dan berjalan atas bumbung pejalan kaki sebelum terjatuh,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Tambah Yusharifuddin, ibu bapa pelajar tersebut turut dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dan hasil ujian saringan air kencing menunjukkan pelajar tersebut negatif dadah.
Harian Metro yang memetik sumber pula menyebut jenis perisa vape yang digunakan adalah ‘mushroom’.
Pihak Sekolah Kerjasama Dengan Polis Jalankan Siasatan
Memetik Sinar Harian, Rose Aza sebelum ini mendedahkan pelajar berkenaan didapati menghisap vape ketika hujung waktu rehat semasa sesi pembelajaran dan menjadi khayal.
Malah, dia menjelaskan bahawa pihaknya bersama polis berkerjasama bagi menyiasat insiden tersebut.
“Di pihak jabatan, kita sudah arahkan sekolah menerusi guru disiplin itu untuk menyiasat serta mencari pembekal vape itu serta melakukan susulan terhadap ujian air kencing pelajar berkenaan sebelum menghantar laporan awal kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
“Kita juga akan membantu pihak sekolah menyediakan laporan awal serta tindakan yang akan diambil Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) berhubung kes vape ini dan dia juga akan terus dibantu bagi memastikan pulih semula,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: