fbpx
Now Reading
Pemandu Sengaja Rempuh Motosikal Di Kuala Kurau Ditahan Polis

Pemandu Sengaja Rempuh Motosikal Di Kuala Kurau Ditahan Polis

Menurut KPD Kerian, mangsa mendakwa semasa kejadian dia bersama rakannya cuba menahan pemandu berkenaan yang dipercayai telah terlibat dalam satu kemalangan dengan individu lain dan cuba melarikan diri.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan sebuah kereta dipercayai sengaja merempuh dua lelaki yang sedang menaiki motosikal di sebuah kawasan jalan di Kuala Kurau, Perak.

Menerusi perkongsian rakaman CCTV yang dimuat naik di akaun X @update11111, kelihatan pada awalnya penunggang motosikal berkenaan telah bertindak mematahkan cermin sisi kereta jenis Toyota Corolla Altis berwarna putih.

Mungkin berang dengan perbuatan itu, pemandu Corolla Altis terbabit terus merempuh kedua-dua lelaki tersebut.

Polis terkesan video tular, laporan telah dibuat mangsa

Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terkesan dengan penularan video terbabit yang dimuat naik di platform media sosial X.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat oleh mangsa berusia 37 tahun pada Selasa lalu (12 November).

Mangsa cuba tahan suspek larikan diri selepas terlibat kemalangan dengan individu lain

Menurutnya, mangsa mendakwa semasa kejadian dia bersama rakannya cuba menahan pemandu berkenaan yang cuba melarikan diri selepas dipercayai terbabit dalam satu kemalangan dengan individu lain.

“Namun, ketika sampai di Jalan Bawah Kuala Kurau, kereta tersebut telah bertindak menghimpit dan melanggar mangsa bersama rakannya itu dan terus melarikan diri,” katanya.

Polis berjaya tangkap suspek dan rampas kereta

Susulan daripada laporan itu, Juna berkata pihaknya telah berjaya mengesan dan menahan suspek terbabit yang berusia 48 tahun itu selain merampas kereta yang digunakan dalam kejadian tersebut untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden berkenaan untuk menghubungi Bilik Gerakan (IPD) Kerian di nombor 05-7212222.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.