Kejayaan Sandra Lim Layak Ke Top 30 Miss Universe 2024 Akhiri Penantian 54 Tahun Malaysia
Kali terakhir wakil negara berjaya melepasi tahap ini di Miss Universe adalah pada 1970 menerusi Josephine Wong yang mara ke Top 15.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Miss Universe Malaysia, Sandra Lim mencipta sejarah apabila berjaya menembusi pusingan Top 30 daripada 125 peserta di pertandingan Miss Universe 2024 yang berlangsung di Arena CDMX, Mexico City, Mexico pada Ahad (18 November).
Kejayaan ini sekaligus mengakhiri kemarau penantian Malaysia selama 54 tahun untuk melihat mana-mana wakil negara layak ke pusingan berkenaan.
Kali terakhir wakil negara berjaya melepasi tahap ini adalah pada 1970 menerusi Josephine Wong yang mara ke Top 15.
Sandra yang teruja membawa nama Malaysia berkata, dia sememangnya menanam impian untuk membanggakan negara di peringkat antarabangsa.
“Saya dedikasikan pencapaian ini untuk negara saya, keluarga, rakan-rakan, pasukan Miss Universe Malaysia Organization (MUMO) yang luar biasa, dan semua peminat hebat yang telah menyokong setiap gerak-geri saya.”
Miss Universe Malaysia 2024, Sandra Lim
Latar belakang Sandra
Individu versatil ini bukan sekadar ratu cantik malah dia juga terkenal sebagai seorang pelakon, model dan artis seni bela diri.
Dedikasi tinggi dan kerja keras Sandra telah membawanya kepada pelbagai pencapaian, termasuk mendapat naib juara pertama di pertandingan antarabangsa pada 2022 dan pingat emas Wushu Kebangsaan semasa berusia 13 tahun.
Namun jadual yang padat dalam dunia lakonan langsung tidak menghalang Miss Universe Malaysia itu membuat persiapan rapi untuk ke pertandingan berprestij berkenaan.
Bahkan selepas dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2024 pada September lalu, Sandra sudah mula mengimbangi rutin hariannya dengan persiapan intensif selama dua bulan sebagai persediaan beraksi di Mexico pada November.
Menurut Pengarah Nasional MUMO, Eleen Yong pencapaian menakjubkan Sandra di pentas dunia membanggakan pihaknya dan Malaysia.
“Dedikasi, kelembutan dan kepintaran beliau telah membawa penghormatan kepada Malaysia. MUMO komited untuk menyokong,” kata Eleen.
Aksi memukau Sandra ketika memperagakan kostum kebangsaan bertemakan Puteri Walinong Sari di Miss Universe 2024 turut mendapat pujian satu dunia.
Pereka di sebalik pakaian kebangsaan Sandra, Ezuwan Ismail turut berpendapat ratu cantik negara itu telah menghidupkan warisan Malaysia di pentas antarabangsa.
“Saya begitu berbangga melihat tekad dan kerja kerasnya membawakan tema Puteri Walinong Sari ketika membuat persembahan. Dalam segmen Pakaian Kebangsaan, Sandra mempamerkan kemahiran seni mempertahankan diri dengan persembahan Wushu yang menawan, menarik perhatian penonton dan juri.”
Sebagai info, pertandingan berprestij yang berakhir pada Ahad itu menyaksikan ratu cantik Denmark Victoria Kjaer Theilvig telah dinobat sebagai Miss Universe 2024.