Tindakan Tegas Jika Peniaga Non-Muslim Salah Guna Simbol Islam, Kata KPDN
Menurut KPDN, hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada pemilik perniagaan yang menyalah guna simbol Islam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat dari pelbagai bangsa dan agama, namun majoriti penduduk di negara ini adalah beragama Islam.
Susulan itu, isu halal dan haram sesuatu jenama atau produk semestinya menjadi salah satu keutamaan di negara ini.
Apatah lagi di zaman ini, ada dakwaan segelintir peniaga makanan bukan Islam sanggup meletakkan simbol atau gambar Islamik di restoran mereka untuk mengaburi pelanggan Muslim.
Guna simbol Islamik untuk perdaya pelanggan akan dikenakan tindakan tegas
Terbaharu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada pemilik perniagaan ‘non-Muslim’ bahawa tindakan tegas akan dikenakan sekiranya mereka menggunakan simbol-simbol berkaitan Islam untuk menipu pengguna.
Memetik MalayMail, dalam jawapan bertulis kepada Parlimen baru-baru ini, KPDN menyatakan peniaga sedemikian boleh didakwa mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Menurutnya, hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada pemilik perniagaan jika disabit kesalahan.
“Bagi premis yang dimiliki oleh peniaga bukan Islam, penggunaan simbol seperti masjid, Kaabah, bulan sabit, bintang, simbol atau tulisan yang boleh dikaitkan dengan Islam, termasuk perbuatan menggantung ayat-ayat suci Al-Quran, jika digunakan untuk tujuan memperdaya atau mengelirukan pengguna Muslim adalah satu kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011,” kata KPDN.
Peniaga Muslim juga dikenakan tindakan jika guna logo sijil halal palsu
Kementerian itu turut menegaskan bahawa peniaga Muslim dan bukan Muslim juga akan dikenakan tindakan tegas sekiranya menampal tulisan halal atau logo palsu di premis atau restoran untuk memperdaya pelanggan.
Pemilik perniagaan mesti memiliki sijil halal terlebih dahulu sebelum dibenarkan menggunakan logo atau tulisan yang menunjukkan sesuatu produk adalah halal seperti yang diperuntukkan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Bagi kesalahan itu, pemilik perniagaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
Istilah ‘No Pork, No Alcohol’ Tiada Beri Jaminan Halal Kepada Premis
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata istilah ‘No Pork, No Alcohol’ yang sering digunakan oleh peniaga tidak mencerminkan premis mereka adalah halal.
Jelas beliau, konteks halal dalam Islam merujuk kepada produk, premis dan barang yang digunakan mencapai standard syariah, kesihatan, kebersihan, keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.
Buat masa ini, kerajaan masih kekal dengan dasar sedia ada di mana permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bersifat sukarela sejak ia mula dilaksanakan pada 1974.
Baca Artikel Berkaitan: