fbpx

Bersih Bagi Kerajaan Perpaduan Skor D Sepanjang 2 Tahun Memerintah

Bersih yang merupakan kumpulan pemerhati pilihan raya itu turut meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri terbaik sejak tahun 2009.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pejam celik, hampir dua tahun Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran negara sejak tahun 2022.

Sejak tempoh itu, pelbagai inisiatif khususnya yang memfokuskan kepada kebajikan rakyat serta ekonomi negara telah dirancang dan dilaksanakan demi kesejahteraan semua.

Namun, ada juga beberapa isu yang timbul menyebabkan segelintir rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan antaranya isu pelarasan subsidi minyak, pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan lain-lain lagi.

Bersih Beri Gred D Kepada Kerajaan Perpaduan

Terbaharu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hanya memberikan markah 45.8% atau gred D kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh dua tahun pentadbiran mereka.

Menurut Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz, markah yang diberi menunjukkan terdapat jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah reformasi.

Jelas Muhammad Faisal, pihaknya menekankan bahawa manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain telah menyertai gabungan dan penyertaan itu sepatutnya memberi kelebihan dalam memenuhi kesemua agenda reformasi.

“Dalam 70% skala pemarkahan akauntabiliti manifesto merangkumi Reformasi Pilihan Raya, status dua daripada tujuh masih dalam progres, manakala selebihnya tidak dilaksanakan.

“Bahagian Reformasi Institusi, lima dari 18 berjaya dilaksanakan, tujuh dalam proses dan lain-lain tidak dipenuhi. Hak Kebebasan Sivil pula tiga sudah dibuat, dua dalam proses serta tiga tidak terlaksana.

“Berkenaan penanda aras perbandingan dengan beberapa perdana menteri sebelumnya pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya capai skor 18 dari 30%,” katanya.

Ismail Sabri PM Terbaik Sejak Tahun 2009 – Bersih

Memetik FMT, Bersih yang merupakan kumpulan pemerhati pilihan raya itu turut meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri terbaik sejak tahun 2009.

Manakala, Tun Dr Mahathir Mohamad di kedudukan kedua ketika menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH), disusuli Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Razak.

Kerajaan Tidak Mempunyai Masa Yang Cukup

Tambah Muhammad Faisal lagi, dia berpendapat kerajaan tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan kesemua reformasi dek kerana sudah melepasi pertengahan penggal lima tahun malah tiada perubahan besar yang telah dibuat.

Jelasnya, jika dilihat dengan pentadbiran terdahulu, mereka berjaya membuktikan bahawa dua reformasi utama dapat diselesaikan hanya dalam tempoh dua tahun.

“Justeru, Bersih ingin mengemukakan 12 cadangan kepada kerajaan menjelang pilihan raya umum ke-16 (PRU16) antaranya perkenalkan 10 tahun had masa buat perdana menteri, Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA), Akta Pendanaan Politik, pisahkan bidang kuasa peguam negara dengan pendakwa raya dan lain-lain.

“Sekarang masa untuk memperkasa demokrasi dan melaksanakan reformasi institusi pilihan raya yang teguh sambil melindungi hak kebebasan sivil.

“Demi mencapai matlamat ini, kami akan terus bekerjasama dan terlibat secara konstruktif dalam memberikan tekanan kepada kerajaan, pembangkang, Parlimen serta pihak berkepentingan untuk menyokong agenda reformasi,” ujarnya.

Baca Artikel Berkaitan: PRN: 100,000 Peluang Pekerjaan Bergaji Tinggi Antara Tawaran PH-BN Kepada Rakyat Selangor

Baca Artikel Berkaitan: PRN: Ahmad Zahid Yakin PH-BN Menang Besar di Selangor

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.