fbpx
Now Reading
Budak Perempuan Cedera Parah Di Kuang Bukan Dilanggar Lari Tetapi Terjatuh Sendiri – PDRM

Budak Perempuan Cedera Parah Di Kuang Bukan Dilanggar Lari Tetapi Terjatuh Sendiri – PDRM

Hantaran yang tular sebelum ini mendakwa mangsa memaklumkan kepada keluarga bahawa dia telah dilanggar lari oleh sebuah kereta sebelum datuk mangsa membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 18 November lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun cedera parah dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Kuang, Selangor pada Khamis (14 November).

Mangsa dipercayai dilanggar ketika sedang menaiki basikal dan disahkan ‘mati otak’ oleh doktor serta kini bergantung kepada bantuan alat sokongan hayat.

Ekoran daripada insiden tersebut, keluarga serta pihak sekolah menerusi satu hantaran di Facebook Persatuan Murid-Murid Tua SJKC Kuang merayu agar orang ramai yang melihat kejadian itu tampil menyalurkan maklumat bagi mengenal pasti pemandu yang bertanggungjawab.

Memetik Berita Harian, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang berhampiran gelanggang bola keranjang sekolah berkenaan.

Malah, mangsa memaklumkan kepada keluarganya bahawa sebuah kereta yang dipandu laju telah melanggar dan lari dari lokasi sebelum datuk mangsa membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Mangsa Jatuh Sendiri, Bukan Terbabit Kemalangan – Polis

Terbaharu, hasil siasatan polis mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan terjatuh sendiri dan bukan terbabit kemalangan dengan mana-mana kenderaan seperti yang dilaporkan.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, seluar yang dipakai oleh budak perempuan itu tersangkut pada rantai basikal yang menyebabkan dia terjatuh.

Jelas Mohd Hafiz, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari kedai runcit yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan sekolah.

Polis Berjaya Kesan Saksi Kejadian

Tambah Mohd Hafiz, pihaknya berjaya mengesan saksi yang membantu mangsa ketika insiden terbabit.

“Seramai lima saksi diambil keterangan termasuk dua berada berhampiran lokasi kejadian yang nampak kanak-kanak itu jatuh di atas jalan dan berlari membantu mangsa.

“Keterangan saksi juga selari dengan pemeriksaan ke atas seluar dipakai mangsa semasa kejadian yang mendapati ada kesan koyak dan minyak rantai basikal,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Tiada Kesan Pelanggaran Dengan Kenderaan Lain

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan pada basikal mangsa juga tidak menemui sebarang kesan pelanggaran dengan kenderaan lain.

Walau bagaimanapun, pihaknya belum merakam keterangan mangsa yang kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

“Setakat semalam, dimaklumkan mangsa masih ditidurkan dan belum sedarkan diri,” ujarnya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Mohd Hafiz turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kejadian berkenaan.

Terdahulu, polis memaklumkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada Jumaat (15 November) lalu kira-kira jam 4.51 petang.

Malah, mereka turut meminta agar orang ramai yang menyaksikan insiden tersebut tampil menyalurkan maklumat dan membantu siasatan.

Baca Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak 10 Tahun Pandu Kereta Terbabas Sebelum Langgar Van

Baca Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak Terjatuh Dari Kereta Sebelum Dilanggar 2 Kenderaan Raih Perhatian Ramai [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.