Guru Sekolah Agama Di Pulau Pinang Akan Terima Elaun Tambahan RM500 Setiap Bulan
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata, peruntukan tambahan berjumlah RM1.92 juta bagi tujuan itu telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Memegang amanah dan tanggungjawab sebagai seorang guru yang perlu mendidik anak murid bukanlah suatu tugasan yang mudah.
Apatah lagi jika guru-guru tersebut perlu mengajar mata pelajaran yang penting yang akan membentuk jati diri seseorang itu di masa hadapan.
Maka wajarlah golongan pendidik sebegini dijaga kebajikannya agar mereka lebih bersemangat untuk mendidik anak bangsa.
Kerajaan Pulau Pinang beri elaun tambahan RM500 kepada guru sekolah Agama
Terbaharu, Kerajaan Pulau Pinang akan memberikan elaun tambahan RM500 pada setiap bulan kepada 160 guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) bermula Januari tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, peruntukan tambahan berjumlah RM1.92 juta bagi tujuan itu telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
“Mereka sebelum ini menerima RM600 hingga RM1,600 sebulan bergantung pada kelayakan akademik masing-masing.
“Semoga dengan berita baik ini menyuntik semangat para guru untuk memartabatkan Islam di Pulau Pinang melalui pendidikan anak-anak kita,” katanya dipetik Awani.
Tiada ahli GISBH serta program pemulihan di Pulau Pinang
Dalam perkembangan lain, Mohamad Abdul yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, tiada ahli GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) yang menyertai program pemulihan secara sukarela di negeri ini.
Menurutnya, ahli GISBH seolah-olah hilang dari radar awam dengan mereka berkemungkinan sudah mengubah penampilan bagi mengelak dikenali.
“Kita tawarkan kepada mereka program pemulihan berkaitan agama di Kompleks Darul Hidayah (di Nibong Tebal), kita juga sediakan fasilitator untuk mereka, ada penginapan sekali, jadi kita nasihatkan mereka untuk tampil secara sukarela sertai program pemulihan ini.
“Cuma sekarang ini nak kesan ahli-ahli GISBH pun susah, malah premis-premis perniagaan mereka kosong selepas operasi daripada pihak berkuasa baru-baru ini,” katanya.
Banyak Jawatankuasa akui GISBH adalah sesat
Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 16 Oktober lalu memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh GISBH adalah haram, bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) turut memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Malah, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
Baca Artikel Berkaitan: