fbpx
Now Reading
Kerajaan Benarkan Pengusaha Stesen Minyak Gajikan Pekerja Asing Di Kafe & Kedai Runcit

Kerajaan Benarkan Pengusaha Stesen Minyak Gajikan Pekerja Asing Di Kafe & Kedai Runcit

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution turut mengumumkan kerajaan mengekalkan status pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing sehingga semakan semula tahun pada suku pertama 2025.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Lambakan warga asing yang datang ke Malaysia sama ada untuk mencari rezeki atau bermastautin merupakan antara topik yang paling hangat dibincangkan di negara ini.

Manakan tidak, ada sebilangan pendatang asing masuk ke negara ini secara haram dan melakukan onar di tanah air kita.

Pun begitu, ada juga yang masuk dengan menggunakan dokumen yang sah untuk bekerja bagi menampung keluarga di kampung, bahkan memiliki sikap yang baik serta mesra terhadap rakyat Malaysia.

Maka tidak adillah jika kita ‘memukul rata’ mereka semua adalah sama dan perlu diusir dari negara berbilang kaum ini.

Kerajaan setuju beri kebenaran pengusaha stesen minyak gajikan pekerja asing

Terbaharu, kerajaan secara dasar bersetuju untuk memberikan kebenaran kepada pengusaha stesen minyak menggaji pekerja asing bagi kerja-kerja pembersihan serta pencucian di kafe dan kedai runcit stesen minyak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana stesen minyak kini mengalami banyak revolusi dengan adanya kafe dan kedai runcit. Bagaimanapun, katanya keputusan itu membabitkan tambahan kuota pekerja asing.

“Dari 1995 sektor stesen minyak laksanakan khidmat layan diri yang tidak dibenarkan pekerja asing digajikan, ini keputusan Kabinet 1995 tetapi stesen minyak kini ada kafe, kedai dan khidmat lain, itu hakikat sekarang dan evolusi yang berlaku,” katanya dipetik Harian Metro.

Penggajian pekerja asing dibuat secara direct employment dan PDM

Mengenai mekanisma penggajian pekerja asing bagi industri berkenaan pula, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata mereka telah bersetuju secara dasar bahawa penggajian dibuat secara ‘direct employment’ dan menerusi kaedah pertukaran majikan dalam Petrol Dealer Association (PDM).

“Dahulunya pekerja ini mungkin tidak digaji secara terus oleh majikan, berapa gaji mereka adalah daripada ejen tetapi kita tukar penggajian terus oleh majikan iaitu syarikat-syarikat yang menguruskan stesen minyak.

“Penggajian terus dan pertukaran majikan ini boleh dibuat selagi seseorang pekerja itu masih lagi dalam tempoh sah,” katanya.

Permohonan kuota penggajian pekerja asing kekal dibekukan

Walau bagaimanapun, Saifuddin mengumumkan kerajaan akan mengekalkan status pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing sehingga semakan semula tahun pada suku pertama 2025.

Ujarnya, ia berikutan defisit kepada jumlah siling (15%) Kementerian Ekonomi yang menetapkan seramai 2.58 juta pekerja asing di Malaysia ketika ini memberikan jumlah 45,000 sahaja.

“Siling 15% daripada 17.2 juta pekerja (workforce) di negara ini memberikan jumlah 2.58 juta dan jawatankuasa ini dalam luluskan kuota di pihak Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) atau proses selanjutnya di pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) dipandu oleh angka ini.

“Oleh itu, kita ambil keputusan kekalkan pembekuan sehingga mesyuarat berikutnya yang dijadualkan pada suku pertama tahun hadapan,” katanya.

Kerajaan setuju benarkan majikan gajikan banduan

Menurutnya lagi, kedua-dua kementerian juga bersetuju secara dasar membenarkan majikan menggaji banduan sekali gus membantu mempercepatkan proses asimilasi mereka dalam masyarakat dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Kata beliau, ia dijangka boleh mengurangkan lebihan 8% banduan di seluruh negara kerana pada ketika ini terdapat 87,000 penghuni di penjara sedangkan kapasiti boleh menampung hanya 74,000 penghuni.

“Pilot projek telah pun berjalan dan hasil libat urus Jabatan Penjara Malaysia dengan majikan mendapati terdapat 400 majikan yang mengambil bahagian sebelum ini menerima baik peluang menggajikan prospek (penghuni penjara).

“Ada kriterianya. Jika mereka terbabit kes bunuh dan rogol (contohnya) tidak akan diambil. Ini membabitkan kes-kes yang lebih ringan. Dalam tahun 2025, ada sekitar 20,000 prospek yang boleh diambil bekerja,” katanya.

Saifuddin dan Steven berkata demikian dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali ke-12, semalam (19 November).

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.