![](https://www.buzzkini.com/wp-content/uploads/2024/11/Tun-Daim-Meninggal-dunia-720x420.jpg)
Kes Gagal Isytihar Harta: Tun Daim Dilepas & Dibebaskan, Pendakwaan Tidak Mahu Teruskan Prosiding
Allahyarham Tun Daim Zainuddin sebelum ini telah berhadapan pertuduhan gagal mengisytiharkan 71 aset yang dimiliki olehnya termasuk bank akaun, beberapa kenderaan mewah dan hartanah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 13 November lalu, negara telah dikejutkan dengan berita pemergian bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin, pada usia 86 tahun.
Beliau dilaporkan mengalami strok dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), sebelum disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di hospital.
Allahyarham sebelum ini telah berhadapan pertuduhan gagal untuk mengisytiharkan 71 aset miliknya yang didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Baca Artikel Berkaitan: Tun Daim Zainuddin Meninggal Dunia Pada Usia 86
Pembebasan Allahyarham Dibuat Mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah
Dalam perkembangan terkini, Allahyarham Daim telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
Keputusan berkenaan dibuat selepas pihak pendakwaan yang diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa mereka tidak mahu meneruskan prosiding kerana Tun Daim yang merupakan tertuduh telah meninggal dunia.
“Kami dengan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, tidak berniat meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia,” katanya dipetik Berita Harian.
Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi memerintahkan Allahyarham dilepas dan dibebaskan.
“Saya telah mendengar hujah kedua-dua belah pihak. Maka saya memerintahkan agar Allahyarham Tun Daim dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan. Duit jaminan dilepaskan kepada penjamin,” ujarnya.
Daim Mengaku Tidak Bersalah Atas Pertuduhan
Allahyarham Daim pada 29 Januari lalu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta dimiliknya.
Aset-aset tersebut merangkumi satu bank akaun, tujuh buah kenderaan, 38 buah syarikat dan 25 hartanah atau tanah di bawah syarikat di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Daim didakwa melakukan perbuatan itu pada 13 Disember 2023 di Ibu Pejabat SPRM di Presint 7, Putrajaya.
Beliau ketika itu dituduh di bawah Seksyen 36(1)(a) ASPRM 2009 yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM100,000.
“Daim Berhasrat Perbicaraan Diteruskan Sehingga Tamat” – Toh Puan Na’imah
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa tindakan lanjut berhubung pendakwaan ke atas Allahyarham Daim akan diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selepas satu perbincangan antara kedua-dua pihak.
“Hal itu, hanya TPR boleh memutuskan sama ada meneruskannya atau sebaliknya dan kami di SPRM hanya bertanggungjawab untuk menyiasat,” katanya.
Azam ketika itu menjelaskan bahawa perbincangan dan keputusan tindakan tersebut mungkin akan mengambil sekitar satu hingga dua minggu, dengan kemas kini akan dimaklumkan oleh pihak SPRM sebaik sahaja keputusan dibuat.
Namun isteri Allahyarham, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, meminta agar pendakwaan ke atas arwah suaminya diteruskan untuk membela keadilan terhadapnya.
Katanya, Allahyarham Daim berhasrat agar meneruskan perbicaraan itu di mahkamah sehingga tamat dalam apa jua keadaan.
Baca Artikel Berkaitan: SPRM Bakal Berunding Dengan TPR Bagi Tindakan Lanjut Pendakwaan Allahyarham Tun Daim