Tukang Rumah Jadi Lelaki Pertama Disebat Secara Terbuka Di Terengganu Selepas 3 Kali Ditangkap Berkhalwat
Hukuman sebat terhadap lelaki berstatus duda itu akan dilakukan selepas solat Jumaat pada 6 Disember di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, sebaik tamat tempoh rayuan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umat Islam pasti sedia maklum, antara hukuman Hudud adalah sebat. Salah satu kesalahan yang boleh dikenakan sebat adalah melakukan zina antara seorang lelaki dan wanita seperti firman Allah SWT di dalam Surah an-Nur ayat 2:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ
Maksudnya: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat.”
Di Malaysia, hukuman sebat dilakukan bagi kedua-dua kesalahan jenayah dan syariah dengan kaedah yang berbeza.
Bagi syarat sebatan syariah adalah tidak boleh mencederakan pesalah dari kaedah hayunan, saiz ukur lilit rotan dan pesalah perlu memakai pakaian.
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Individu Berumur 50 Tahun Ke Atas Tidak Boleh Dikenakan Hukuman Sebat Di Malaysia?
Hukuman Sebat Dilakukan Lepas Solat Jumaat Di Masjid
Media hari ini (20 November) melaporkan seorang tukang rumah akan menjadi individu pertama dikenakan hukuman sebatan enam kali di khalayak ramai di Terengganu.
Hukuman berkenaan diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang yang juga seorang duda, mengaku salah melakukan kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Sehubungan itu, hukuman sebat diperintahkan agar dilakukan selepas solat Jumaat pada 6 Disember di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, sebaik tamat tempoh rayuan.
Selain hukuman enam sebatan, tertuduh turut dikenakan denda sebanyak RM4,000. Dia bakal berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Tertuduh Lakukan Kesalahan Berkhalwat Kali Ketiga
Kamalruazmi ketika penghakimannya berkata matlamat utama dalam syariat dan mengikut Islam menjatuhkan hukuman adalah bagi memberi pengajaran, pendidikan dan sebagai pencegahan agar kesalahan sama tidak berulang, termasuk juga peringat kepada orang awam.
“Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang sama sebanyak dua kali. Kamu (Mohd Affendi) pernah disebat dan dipenjara, tetapi buat lagi (berkhalwat). Hukuman kali pertama (sebatan kerana khalwat) sepatutnya sudah memberi keinsafan,” katanya.
Tertuduh dalam pada itu dikenakan hukuman sebat kerana melakukan kesalahan khalwat sebanyak tiga kali.
Dia sebelum ini telah dikenakan denda RM2,700 atau penjara tiga bulan selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.
Pada 25 Januari lalu, dia melakukan kesalahan sama dan telah dijatuhkan hukuman empat sebatan, denda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda, oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.
Tertuduh Pesalah Pertama Dihukum Sebat 4 Kali Kerana Khalwat Berulang
Untuk rekod, tertuduh merupakan pesalah khalwat pertama di negeri itu yang dijatuhkan hukuman sebat empat kali di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 menetapkan bahawa tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita warga emas pada 1.40 pagi, 16 Jun, di sebuah rumah di Kemaman.
Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof telah mengendalikan pendakwaan. Tertuduh bagaimanapun tidak diwakili peguam.
“Sebat Di Tempat Awam Untuk Beri Kesedaran, Bukan Malukan Pesalah” – Dr Muhammad Khalil
Terdahulu, kerajaan Terengganu telah mempertimbangkan pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, pihaknya telah merujuk kepada mereka yang lebih arif dan pakar dalam bidang berkenaan.
Tambahnya, hukuman sebat yang dilaksanakan di tempat awam bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan bukan untuk menjatuhkan maruah pesalah.
“Jika diikutkan apa yang dilaksanakan sekarang ini iaitu di dalam penjara mungkin sudah memadai kerana ia disaksikan oleh sebilangan saksi tetapi jika dilaksanakan di khalayak ramai, maka ia lebih baik bagi menyedarkan masyarakat supaya menjauhi maksiat dan kemungkaran.
“Soal ia memalukan pesalah, ia perlu dipertimbangkan dengan maslahah yang lebih besar iaitu menggerunkan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan terkutuk,” katanya.