“Gred D Terlalu Tinggi, Patutnya Gred F” – Ketua Penerangan Pas Ulas Skor Bersih Buat Kerajaan Perpaduan
Menurut Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, pemberian gred D itu mungkin kerana Bersih mahu menjaga hati Kerajaan Perpaduan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah memberikan Gred D atau markah sebanyak 45.8% kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh dua tahun pentadbiran mereka.
Menurut Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz, markah yang diberikan dalam Laporan Penilaian Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) menunjukkan terdapat jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah reformasi.
Malah, pihaknya turut menekankan bahawa manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain telah menyertai gabungan tersebut dan penyertaan itu sepatutnya memberi kelebihan dalam memenuhi kesemua agenda reformasi.
Walau bagaimanapun, Muhammad Faisal berpendapat kerajaan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melaksanakan kesemua reformasi kerana telah melepasi pertengahan penggal lima tahun dan tiada perubahan besar yang dibuat.
Baca Artikel Berkaitan: Bersih Bagi Kerajaan Perpaduan Skor D Sepanjang 2 Tahun Memerintah
Ketua Penerangan PAS Anggap Gred D Terlalu Tinggi
Terbaharu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan, gred D yang diperolehi Kerajaan Perpaduan daripada Bersih itu adalah terlalu tinggi.
Beliau mendakwa, pemberian gred D itu mungkin kerana Bersih mahu menjaga hati Kerajaan Perpaduan.
“Saya berpandangan, gred D terlalu tinggi sepatutnya gred F namun, mungkin Bersih masih ingin menjaga hati kerajaan yang sedang mentadbir, maka markah simpati diberikan.
“Jika diibaratkan pelajar universiti, kerajaan yang ada tidak melaksanakan tugasan kerja kursus dan didapati meniru dalam peperiksaan,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Pembangkang Beri Amaran Kerajaan Perpaduan Berisiko Dapat Gred Lebih Rendah
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berpendapat, penilaian yang dibuat oleh Bersih menunjukkan pentadbiran di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan dengan masalah.
Jelasnya, umum mengetahui Bersih yang merupakan kumpulan pemerhati pilihan raya itu sebelum ini memberi pengiktirafan tinggi kepada Anwar.
“Kerajaan perlu buat sesuatu dan rakyat sedang melihat sekarang. Rakyat kalau bagi saya percaya mereka bagi E tapi Bersih, alhamdulillah dapat gred D,” katanya yang juga dipetik dari Sinar Harian.
Malah, Shahidan berpandangan apa yang sedang dihadapi oleh Anwar bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa.
“Mereka (Bersih diketahui) menyokong kerajaan (Anwar) tetapi hari ini hampir semua daripada kami (pembangkang) terpitam kerana Bersih telah beri markah D pada kerajaan.
“D ni apa makna? Siapa dapat markah D dia boleh terus bernafas tetapi dalam keadaan yang cedera. Kecederaan ini perlu dibuat pembaharuan serta-merta,” jelasnya lagi.
Bersih Pilih Ismail Sabri Sebagai PM Terbaik
Selain daripada pemberian gred tersebut, Bersih turut meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri terbaik sejak tahun 2009.
Manakala, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di tangga kedua Ketika beliau menerajui Kerajaan Pakatan Harapan (PH), diikuti Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Razak.
Baca Artikel Berkaitan: