![](https://www.buzzkini.com/wp-content/uploads/2024/11/Guan-Eng-720x420.jpg)
Isu Lawatan Kementerian Dari Afghanistan: Ini Respon KPM Selepas Guan Eng Minta Penjelasan Fadhlina
Tegas Lim, tiada keperluan untuk Malaysia mempunyai hubungan dengan negara yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan Fadhlina mengesahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban pada awal bulan lalu.
Jelas Fadhlina, lawatan itu sudah berakhir dan kementeriannya berkongsi pandangan mereka mengenai pendidikan.
Guan Eng tuntut penjelasan Fadhlina, kenapa terima kunjungan pimpinan Taliban
Perkara itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan menuntut Fadhlina untuk memberi penjelasan.
Menurutnya, kunjungan dan lawatan itu menimbulkan persoalan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut.
“Afghanistan satu-satunya negara di dunia yang melarang golongan wanita belajar di sekolah menengah dan universiti. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah mengecam Afghanistan dan pimpinan Taliban kerana tindakan sedemikian sama seperti aparteid jantina.
“Saya harap satu penjelasan boleh diberikan kepada rakyat Malaysia kerana kita amat prihatin sebagai negara yang menyokong hak golongan wanita dan hak mereka khususnya untuk mendapatkan pendidikan,” katanya dipetik Sinar Harian.
Tiada keperluan Malaysia ada hubungan dengan Afghanistan
Tegas Lim lagi, tiada keperluan untuk Malaysia mempunyai hubungan dengan negara yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita.
“Saya rasa perkara ini (terima lawatan Kementerian Pendidikan Afghanistan) akan ditentang semua rakyat Malaysia dan saya yakin seluruh dunia (pun akan menentang),” katanya.
Kunjungan dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat KLN
Terbaharu, KPM menerusi satu kenyataan hari ini (21 November) menjelaskan bahawa program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN).
Kata KPM, ia juga telah mendapat khidmat sokongan daripada Kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program selesai.
“Kunjungan ini adalah suatu usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan, yang mana Kerajaan Malaysia bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara tersebut,” katanya.
Menerusi kunjungan ini, KPM telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.
“Ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.
“Ini selaran dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (Sustainable Development Goal – SDG 4) termasuk untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan,” katanya lagi.
Beri pendedahan kepada delegasi Afghanistan
Berkongsi lanjut, KPM berkata kunjungan berkenaan juga memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.
Jelas KPM, delegasi Afghanistan juga telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.
“Komitmen KPM adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.
“Pada masa sama, hak pendidikan tidak boleh dinafikan. Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak-kanak perempuan,” tulis kenyataan itu.