Petugas Tular Kasari & Tumbuk Muka Pengembara Warga Asing Berstatus NTL Di KLIA Digantung Tugas
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, dalam apa juga situasi, petugas Aerodarat Services (ADS) itu seharusnya bertindak secara profesional walaupun berdepan dengan penumpang yang kurang sopan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang petugas AeroDarat Services (ADS) yang tular baru-baru ini mengasari seorang pengembara warga asing berstatus Notis Penolakan Masuk (NTL) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 telah diberikan surat tunjuk sebab serta digantung tugas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan itu bagi memberi laluan kepada ADS yang menyediakan perkhidmatan pengendalian darat untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden berkenaan.
Namun, menurut Loke, petugas itu mendakwa ada provokasi daripada pengembara warga asing terbabit.
Petugas AeroDarat, bukannya staf MAHB
“Saya difahamkan petugas terlibat dalam insiden itu adalah petugas AeroDarat bukannya staf Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB). Petugas menyatakan bahawa ada provokasi daripada penumpang NTL.
“Situasi itu menyebabkan ada kekasaran fizikal dan ada kata-kata tidak cantik, kata-kata kesat dan sebagainya, apa pun keadaan memang kita tidak boleh pertahankan petugas itu,” katanya dipetik Sinar Harian.
Petugas terbabit seharusnya bersikap profesional dalam apa juga situasi
Menurutnya, dalam apa juga situasi, petugas tersebut seharusnya bertindak secara profesional walaupun berdepan dengan penumpang yang kurang sopan.
Ujar Anthony, mengikut prosedur ditetapkan, tanggungjawab menguruskan mana-mana penumpang NTL adalah di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan bukannya Jabatan Imigresen atau MAHB.
“Itu memang satu standard antarabangsa, semua lapangan terbang antarabangsa pun sama. Dalam kes ini, ada satu bilik yang disediakan oleh MAHB untuk meletakkan penumpang NTL sementara menunggu penerbangan balik,” katanya.
Sekadar info, NTL (not to land) dikeluarkan ke atas penumpang atas pelbagai sebab antaranya memiliki rekod senarai hitam, tidak dapat membuktikan tujuan kedatangan seperti visa, tiket penerbangan pergi dan balik, hotel penginapan yang menjadi syarat imigresen di mana-mana negara.
Tular video-video sekumpulan penumpang NTL dikasari, siap kena tumbuk
Terdahulu, MalaysiaKini mendedahkan beberapa video yang memaparkan sekumpulan pengembara warga asing dilayan secara kasar kerana berstatus NTL.
Dalam klip rakaman yang dipercayai diambil pada 11 November lalu, kelihatan seorang lelaki yang dipercayai pegawai bertindak menumbuk muka salah seorang warga asing terbabit atas sebab yang tidak pasti sebelum dia diminta pergi ke suatu tempat seperti bilik.
Satu lagi video turut memperdengarkan suara seorang lelaki menjerit terhadap kumpulan warga asing itu sambil mengeluarkan kata-kata kesat.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula menerusi satu kenyataan menegaskan bahawa video-video tular berkenaan tidak melibatkan pegawainya.
Baca Artikel Berkaitan: