Doktor Dituduh Rakam Video Punggung & Bahagian Badan Wanita
Walau bagaimanapun, tertuduh yang sudah berkahwin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak akhir-akhir ini, ada sahaja kisah tular yang dilaporkan di media berkaitan dengan pencabulan penghormatan golongan wanita.
Walaupun dianggap biasa bagi segelintir orang namun perbuatan tidak bermoral itu adalah satu kesalahan dan mangsa terlibat boleh membuat laporan agar tindakan undang-undang dapat diambil.
Doktor Mengaku Tidak Bersalah Kerana Rakam Punggung & Bahagian Badan Wanita
Terbaharu, seorang doktor perubatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan berkelakuan tidak senonoh dengan merakam video mengaibkan kehormatan seorang wanita pada Julai lalu.
Walau bagaimanapun, tertuduh yang dikenali sebagai Amirul Haqim Ayub mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berusia 31 tahun itu didakwa dengan sengaja mengaibkan kesantunan seorang pekerja wanita yang berusia 27 tahun dengan merakam video punggung dan bahagian badan wanita berkenaan menggunakan telefon bimbit.
Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah kedai penjagaan kecantikan dan kesihatan dalam sebuah pasar raya di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, Perak pada 12 Julai lalu kira-kira jam 6.30 petang.
Jika sabit kesalahan, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mohon Ikat Jamin Dikurangkan Kerana Tertuduh Perlu Tanggung Seorang Isteri
Dalam pada itu, pegawai pendakwa Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada tertuduh.
Walau bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) S Kumaresan yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah mengenakan jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya itu perlu menanggung seorang isteri.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.
Malah, mahkamah turut menetapkan 30 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat, insiden tersebut berlaku ketika mangsa sedang menyusun stok barang baharu di kedai tempatnya bekerja.
Hasil pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh telah mendekati pekerja berkenaan dan merakam video punggung mangsa.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Cabul 3 Wanita Di Tamarind Square, Lelaki Mengaku Tidak Bersalah
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Didenda RM3000 Gara-Gara Peluk Bekas Rakan Sekerja Wanita Dalam Lif