Pemancing Selamatkan 4 Warga Indonesia Hanyut 4 Hari Di Perairan Malaysia [Video]
Menurut TLDM, kesemua mangsa bot karam itu telah dipindahkan ke Kapal Republik Indonesia (KRI) Torani selepas menerima rawatan awal.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak semalam (20 November), tular di media sosial satu video yang memaparkan sekumpulan nelayan membantu empat individu warga Indonesia yang dijumpai terapung di atas laut berdekatan Pulau Jarak, Perak.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @chaifishing, kumpulan pemancing tempatan itu pada awalnya ternampak kesemua mangsa sedang melambai-lambai ke arah mereka untuk meminta pertolongan.
Susulan itu, mereka yang sedang memancing dengan segera membawa bot yang dinaiki mendekati keempat-empat individu itu.
4 hari terapung dilaut tanpa makan dan minum, 2 mangsa hilang dipercayai sudah terkorban
Difahamkan, bot yang dinaiki keempat-empat individu itu karam selepas dilanggar sebuah kapal di sekitar perairan Indonesia.
Lebih mengejutkan, keempat-empat warga negara jiran itu sudah berada di laut selama empat hari tanpa makan dan minum.
Apa yang mendukacitakan, terdapat enam orang di atas bot yang karam itu namun hanya empat individu itu sahaja yang berjaya hanyut ke Pulau Jarak, manakala dua yang lain dipercayai sudahpun meninggal dunia.
Kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada anggota-anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) untuk bantuan lanjut.
Untuk video tonton di bawah atau klik di sini:
Kesemua mangsa adalah nelayan dari Tanjung Balai, diselamatkan jam 1.40 petang kelmarin
TLDM menerusi satu kenyataan semalam berkata, keempat-empat mangsa yang merupakan nelayan dari Tanjung Balai, Indonesia itu diselamatkan oleh bot nelayan pada jam 1.40 petang kelmarin (20 November).
“Nelayan tersebut seterusnya telah dibawa ke Pulau Jarak oleh bot nelayan tempatan sebelum diserahkan kepada Stesen Jarak TLDM untuk menerima rawatan awal,” katanya.
Kesemua mangsa dipindahkan ke KRI Torani
Menurutnya, Kapal Diraja (KD) Mahamiru yang sedang melaksanakan Operasi Patroli Terkoordinasi Malaysia-Indonesia Siri 166 Tahun 2024 (Op Patkor Malindo) telah ditugaskan untuk memindahkan kesemua mangsa ke Kapal Republik Indonesia (KRI) Torani yang berada kira-kira 40 batu nautika, barat laut Pulau Jarak.
“Penyerahan nelayan-nelayan tersebut kepada KRI Torani berjaya dilaksanakan di sempadan perairan pada jam 12.40 tengah malam tadi. Op Patkor Malindo ini turut melibatkan penyertaan KD Laksamana Muhammad Amin dan Kri Bubara,” katanya.
Menurutnya lagi, usaha menyelamat mangsa ini membuktikan objektif Op Patkor Malindo telah tercapai dan memberi keyakinan kepada komuniti maritim.
Op Patkor Malindo mudahkan penghantar mangsa ke pihak Indonesia
Dalam masa yang sama, TLDM berkata, pelaksanaan Op Patkor Malindo bersama pihak Indonesia telah memudahkan penghantaran mangsa dengan berkesan.
“Kejayaan ini mencerminkan hubungan erat serta semangat sepakat yang dipersetujui oleh pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentara Nasional Indonesia (TNI), khususnya antara TLDM dan TNI-AL.
“Hubungan strategik ini menegaskan komitmen kedua-dua negara terhadap keselamatan perairan Selat Melaka, sekaligus memperkukuhkan kestabilan maritim di rantau ini,” katanya lagi.