fbpx
Now Reading
Najib & Irwan Serigar Dilepas Tanpa Dibebaskan Kes Pecah Amanah RM6.6 Bilion IPIC

Najib & Irwan Serigar Dilepas Tanpa Dibebaskan Kes Pecah Amanah RM6.6 Bilion IPIC

Keputusan DNAA itu dibuat selepas hakim membenarkan permohonan Najib dan Mohd Irwan melalui permohonan notis usul yang telah difailkan kedua-dua tertuduh pada hari ini.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari ini (27 November), bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah telah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung enam pertuduhan pecah amanah.

Keenam-enam pertuduhan itu melibatkan harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pihak pendakwaan gagal serah ratusan dokumen berkaitan perbicaraan

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal menyerahkan ratusan dokumen berkaitan perbicaraan kepada pasukan pembelaan, walaupun pertuduhan telah difailkan sejak 2018.

Ratusan dokumen itu termasuklah rekod mesyuarat Kabinet serta dokumen daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar serta Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, keputusan DNAA berkenaan juga dibuat selepas hakim membenarkan permohonan Najib dan Mohd Irwan melalui permohonan notis usul yang telah difailkan kedua-dua tertuduh pada hari ini.

Mahkamah gunakan kuasa sedia ada untuk DNAA Najib dan Irwan Serigar

Menurut Muhammad Jamil dalam keputusan ringkasnya, berdasarkan fakta dan hal keadaan kes ini, mahkamah menggunakan kuasa sedia ada untuk memerintahkan tertuduh pertama dan kedua dilepaskan tanpa dibebaskan daripada keenam-enam pertuduhan.

“Alasan ringkas saya yang pertama, pendakwaan tidak memenuhi sepenuhnya Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan yang kedua, perintah DNAA tidak memprejudiskan kes pendakwaan. Pendakwaan boleh menuduh kedua-dua tertuduh semula.

“Ketiga, kes ini didaftarkan pada tahun 2018 namun perbicaraan tidak dapat diteruskan walaupun tarikh perbicaraan telah ditetapkan beberapa kali kerana pendakwaan tak memenuhi sepenuhnya peruntukan Seksyen 51A CPC.

“Ini adalah suatu kelewatan melampau. Permohonan tertuduh pertama (Najib) dan tertuduh kedua (Mohd Irwan) dalam notis usul dibenarkan.

“Oleh itu tertuduh pertama dan kedua dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA daripada keenam-enam pertuduhan. Wang jamin dikembalikan kepada penjamin,” katanya dipetik Berita Harian.

Najib dan Irwan Serigar mengaku tidak bersalah ke atas enam-enam pertuduhan

Terdahulu, pada 25 Oktober 2018, bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan Mohd Irwan mengaku tidak bersalah atas keenam-enam pertuduhan terbabit.

Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 sehingga 18 Disember 2017.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 40 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.