Tun M Sedia Jadi ‘Mentor’ Kepada Individu Yang Berhasrat Nak Jadi Perdana Menteri
Tun M yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali menjelaskan pejabat beliau sentiasa terbuka bagi mana-mana individu yang berhasrat untuk berbuat demikian.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Siapa yang tidak kenal dengan negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tun M? Beliau antara figura yang dikagumi ramai baik individu dalam atau luar negara disebabkan sumbangannya dalam pembangunan dan pentadbiran di Malaysia.
Sepanjang tempoh pentadbirannya ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat, banyak perubahan dan kemajuan yang berlaku di negara ini.
Malah, beliau juga pernah dilantik menjadi Perdana Menteri ketujuh dan kali kedua buat dirinya pada tahun 2018.
Sudah pasti dengan pelantikan tersebut, pelbagai pengalaman telah diperolehi beliau sepanjang tempoh mentadbir negara.
Sedia Jadi Mentor Buat Mana-Mana Individu Yang Mahu Jadi PM
Terbaharu, Tun M menjelaskan dia bersedia menjadi ‘mentor’ buat mana-mana individu yang berhasrat mahu menjadi Perdana Menteri.
Tun M yang pernah memegang jawatan itu sebanyak dua kali menjelaskan pejabat beliau sentiasa terbuka bagi mana-mana individu yang berhasrat untuk berbuat demikian.
“Saya ada Yayasan Kepimpinan Perdana. Kalau awak mahu menjadi pemimpin, datang ke yayasan saya. Saya akan ajar awak bagaimana untuk menjadi PM,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika Majlis Pelancaran Pelancaran Buku Idealis: Syed Hamid Albar di sini hari ini (27 November).
Keadaan Politik Sekarang Tidak Sama Seperti Dahulu
Tambah Tun M yang juga digelar sebagai Bapa Pembangunan Negara, keadaan politik sekarang dilihat jauh berbeza dengan masa dahulu yang bagi beliau lebih mudah.
“Kita tak perlu memberi inspirasi untuk jadi PM. Tiada persoalan tentang siapa yang patut jadi PM pada masa dulu.
“Tapi sekarang, mereka bentuk parti untuk jadi PM. Jadi, saya cadangkan lantik bukan seorang tapi beberapa orang. Semua orang boleh gembira kerana dapat jadi PM,” jelasnya.
Tidak Tahu Ada Kerajaan perpaduan
Pada masa yang sama, ketika beliau diminta mengulas pencapaian Gred D yang diperolehi oleh Kerajaan Perpaduan, Tun M secara sinis menjelaskan tidak mengetahui tentang kewujudannya.
“Saya tak tahu ada Kerajaan Perpaduan. Orang lain, saya tak tahu. Sekarang, semua berpecah, bukan bersatu padu,” jelasnya lagi.
Jawatan Perdana Menteri Jadi Isu Panas Sejak Minggu Lalu
Isu mengenai calon PM kembali menjadi topik hangat sejak beberapa hari lalu selepas media melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada usaha untuk menarik Barisan Nasional keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan membentuk kerajaan baharu sekali gus mengangkat individu daripada parti itu menjadi Perdana Menteri.
Jelas beliau, itu antara usaha yang dilakukan oleh pembangkang untuk menjadi kerajaan semula.
Bukan itu sahaja, perkara sama turut menjadi bualan di kalangan blok pembangkang selepas bekas Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mencadangkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PM mewakili Perikatan Nasional untuk PRU akan datang.
Ia bagaimanapun kurang dipersetujui Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin yang menegaskan PAS lebih layak memimpin PN.
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Dah Lihat Banyak Bandar Namun Tiada Yang Dapat Tandingi Keindahan Putrajaya”- Tun M
Baca Artikel Berkaitan: Walaupun Umur 99 Tahun, Tun M Masih Gagah Pandu Kereta 150km/jam [Video]