Jangan Lepas Tangan, BNM Digesa Siasat & Kaji Isu Kenaikan Premium Insurans
Menurut MP Bayar Baru, Sim Tze orang ramai yang mencarum insurans bukan kerana hanya mahu perkhidmatan swasta yang lebih baik tetapi juga kos yang munasabah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ketika ini, isu kenaikan premium insurans sedang hangat diperkatakan di media sosial, di mana rata-rata pencarum tidak berpuas hati dengan perkara itu.
Hal ini kerana, kenaikan terbabit menyebabkan komitmen bulanan mereka semakin bertambah sekali gus memberi bebanan.
Malah, ada yang mendakwa pihak atau syarikat insurans yang diambil tidak menyatakan sebab yang munasabah atas kenaikan itu.
BNM digesa siasat dan kaji syarikat insurans beri notis kenaikan
Terbaharu, Bank Negara Malaysia (BNM) digesa untuk menyiasat dan mengkaji semula syarikat-syarikat insurans yang telah mengeluarkan notis kenaikan premium insurans yang mencecah sehingga 40% ke 70%.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, BNM diharapkan tidak melepas tangan dengan memberi alasan perkhidmatan insurans adalah ‘business decision’ oleh syarikat.
Menurutnya, orang ramai yang mencarum insurans bukan kerana hanya mahu perkhidmatan swasta yang lebih baik tetapi munasabah kosnya.
Ada pencarum yang terpaksa berhenti mencarum dek kenaikan yang melampau
“Dengan kenaikan premium insurans yang naik mendadak, kami mendapati bahawa ada pencarum sudah berhenti mencarum.
“Mereka sekarang terpaksa kembali ke hospital kerajaan. Ini secara tidak langsung menambah beban kepada hospital kerajaan dan golongan B40 menjadi mangsa kerana terpaksa menunggu lebih lama,” katanya dipetik Kosmo.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia pertahan kenaikan premium insurans
Menurutnya lagi, beliau juga kesal membaca kenyataan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh kelmarin (26 November) yang mempertahankan kenaikan premium insurans kesihatan sebagai tidak sangsi dan berpatutan.
“Ini amat dikesali, kerana beliau cuba menegakkan benang yang basah. Umum diketahui, kenaikan premium insurans kesihatan ada kaitan rapat secara langsung dan tidak langsung kenaikan caj hospital swasta yang melambung tinggi dan tidak terkawal.
“Caj hospital swasta yang melonjak tinggi sudah menjadi bebanan yang tinggi kepada syarikat insurans dan kini mereka telah “passing the cost” kepada pencarum insurans daripada golongan M40 ke atas,” katanya.