PAS Mahu Amalan Peraga Model Wanita Seksi Semasa Perlumbaan MotoGP Dihentikan
Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, adalah tidak wajar untuk sukan permotoran yang sinonim dengan lelaki dan diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat disajikan dengan tradisi memperaga model wanita seksi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Umum mengetahui, Malaysia merupakan antara negara yang sering menganjurkan acara permotoran seperti MotoGP, Petronas Grand Prix, dan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang.
Pertandingan sebegini pastinya menarik minat ramai rakyat Malaysia tanpa mengira umur terutama bagi mereka yang minat akan dunia permotoran.
Amalan peraga model wanita seksi dihentikan
Terbaharu, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan mahu amalan tradisi memperagakan model wanita seksi semasa perlumbaan MotoGP dihentikan.
Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, amalan sedemikian adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan Rukun Negara.
“Yang saya nak kongsikan hari adalah berkaitan dengan isu tradisi memperagakan model wanita seksi yang menjolok mata yang ada di sepanjang acara tersebut.
“Ianya kalau kita lihat, dia bercanggah dengan ajaran Islam, dan ia juga bercanggah dengan Rukun Negara kita yang kelima (iaitu) kesopanan dan kesusilaan,” katanya dipetik MalaysiaKini.
Sukan permotorana yang sinonim dengan lelaki tak wajar disajikan sebegitu
Menurutnya lagi, adalah tidak wajar untuk sukan permotoran yang sinonim dengan lelaki dan diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat disajikan dengan tradisi sedemikian.
Dakwa Muhammad Fawwaz, terdapat ramai pengunjung yang merungut mengenai pemakaian model wanita yang seksi itu.
“Jadi saya mohon kalau boleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dapat mengambil kira pandangan ini seperti mana kita buat pada sebelum ini.
“Kalau kita tengok dalam kategori sukan F1 (Formula Satu) sebelum ini ada upacara arak diberikan atas podium tapi sejak beberapa tahun kebelakangan sebelum SIC tidak dihidupkan, kita lihat penyerahan arak tidak diberikan.
“Ini satu perkara yang baik yang mungkin boleh kita amalkan di negara kita khususnya dalam isu wanita menjolok mata ini,” katanya.
Muhammad Fawwaz berkata demikian semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2025 bagi KBS di Dewan Rakyat semalam (27 November).