Sikap Segelintir Ibu Bapa & Sekolah Kejar Gred A Punca Murid Stres, Bukan UPSR – Pakar
Dalam pada itu, Dr Anuar Ahmad yang juga Felo Bersekutu MINDA UKM menjelaskan beliau tidak menafikan kewajaran tindakan kerajaan untuk kekal memansuhkan peperiksaan berpusat itu namun pelbagai faktor perlu diambil kira.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini kekal dengan pendirian tidak akan mengembalikan semula Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) walaupun telah dicadang untuk dikembalikan semula oleh beberapa pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Malah, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek baru-baru ini sekali lagi menegaskan peperiksaan tersebut tidak akan dikembalikan bagi mengurangkan tekanan kepada pelajar sekolah.
Sebaliknya, KPM akan mengambil pendekatan berasaskan pertanyaan, eksplorasi, mengikut konteks, pengalaman serta pentaksiran sepenuhnya bagi melihat pembangunan holistik murid.
Kenyataan Fadhlina ketika sidang Dewan Rakyat di Parlimen pada 26 November lalu nyata menarik perhatian hingga ramai yang mempersoal tujuan pemansuhan tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: “Anak Kita Bukan Tikus Makmal” – KPM Kekal Mansuhkan UPSR & PT3, Kata Fadhlina Sidek
Bukan UPSR Buat Pelajar Stres Tapi Sikap Segelintir Ibu Bapa & Sekolah Kejar Gred A Jadi Punca
Ada pihak yang berpendapat sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PT3 bukanlah menjadi faktor utama pelajar sekolah tertekan.
Menurut Felo Bersekutu Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, MINDA UKM Dr Anuar Ahmad, emosi murid terganggu sebaliknya berpunca akibat sikap segelintir pihak sekolah dan ibu bapa yang terlalu mengejar pencapaian gred A.
“Peperiksaan itu bukanlah sesuatu yang buruk. Ia adalah satu yang baik tetapi bagaimana masyarakat, bagaimana ibu bapa, guru-guru respon kepada peperiksaan itu yang akan menentukan sama ada ia akan menekan perasan, emosi anak-anak ataupun tidak,” katanya lagi.
Tambah Dr Anuar lagi, peperiksaan sebenarnya merupakan satu proses pembelajaran yang baik buat anak-anak.
“Cuba kita tengok zaman dahulu, kita dapati ibu bapa, guru dan anak-anak ada pemikiran yang sama iaitu untuk menjayakan mereka dalam peperiksaan.
“Tidak dinafikan, sudah tentu anak-anak akan alami sedikit tekanan, tetapi dari sudut psikologi ia adalah stres yang positif.
“Dengan stres itu anak-anak akan buat persiapan, disiplinkan diri, selesaikan kerja rumah, beri perhatian sepenuhnya, apabila pulang ke rumah buat kerja dengan teliti.
“Ini semua perkara baik yang akan tingkatkan keupayaan anak-anak dalam proses pembelajaran sebab mereka tahu di hujung tahun mereka berdepan peperiksaan,” katanya yang dipetik daripada Astro Awani.
Tidak Nafikan Kewajaran Mansuh Peperiksaan Namun Perlu Ambil Kira Beberapa Faktor
Tambah Anuar lagi, beliau tidak menafikan kewajaran tindakan kerajaan memansuhkan peperiksaan berpusat itu namun pelbagai faktor perlu diambil kira.
Antaranya adalah seperti isu kepadatan pelajar dalam satu bilik darjah yang masih belum di atasi sepenuhnya yang dilihat boleh menganggu penilaian murid kerana keadaan yang tidak kondusif.
Jelas beliau, terdapat banyak perkara asas lain yang perlu ditambah baik termasuk isu silibus berat dan tidak fleksibel hingga menyukarkan kebebasan guru ketika penyampaian sesi pengajaran.
Baca Artikel Berkaitan: KPM Mansuh Peperiksaan Demi Kurangkan Tekanan Murid – Fadhlina Sidek
Baca Artikel Berkaitan: Pengerusi MARA Cadang Kembalikan Semula UPSR, Boleh Nilai Potensi Sebenar Pelajar Sebelum ke MRSM