“Kos Tinggi Untuk Rebrand” – Cadangan Mat Sabu Tukar Nama UPM Ke Universiti Pertanian Malaysia Cetus Perdebatan
Mohamad Sabu berkata pertukaran nama UPM ke Universiti Pertanian Malaysia dianggap sesuai memandangkan dunia kini tertumpu kepada isu pertanian.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (28 November), Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata beliau akan mengemukakan cadangan untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia kepada kabinet untuk dibincangkan.
Menurut Mat Sabu, cadangan untuk membawa perkara tersebut ke Mesyuarat Kabinet adalah selepas mengambil kira keutamaan Malaysia yang kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan selain bagi memajukan sektor pertanian negara.
“Saya berhasrat begitu (tukar semula nama), sebab dulu asalnya memang nama Universiti Putra adalah Universiti Pertanian. Untuk kembali nama kepada Universiti Pertanian, saya ingat sesuai.
“Barangkali masa tukar nama dulu kita tidak fikir isu ‘climate change’ dan perubahan cuaca, jadi sekarang pertanian sudah jadi isu dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semua bincang pasal pertanian,” ujar beliau.
Pemilihan Nama Universiti Putra Malaysia Ambil Kira Faktor Kewujudan Banyak Bidang Lain
Sebagai info, nama universiti itu ditukar daripada Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia pada 3 April 1997 oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad.
Perubahan terbabit bertujuan bagi menggambarkan status UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menawarkan program pengajian dalam bidang pertanian tetapi juga pelbagai bidang lain.
Ini termasuklah sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara.
UPM yang kini mempunyai 14 fakulti pengajian menawarkan pelbagai program pengajian berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pertanian pintar.
Hebahan cadangan ini kemudiannya menerima pelbagai reaksi orang ramai di platform X (Twitter).
#putrajaya Cadangan untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia akan dikemukakan kepada kabinet untuk dibincangkanhttps://t.co/Hl1k4QmrvQ
— Harian Metro (@hmetromy) November 28, 2024
Ramai Tak Setuju Dengan Cadangan Penukaran Nama UPM
Menjengah ke ruangan balas, segelintir individu dilihat menyokong cadangan berkenaan dengan mengatakan nama Universiti Pertanian Malaysia adalah lebih sesuai.
Pun begitu, rata-rata orang ramai dilihat tidak bersetuju dengan cadangan dikemukan Mohamad Sabu selain menyifatkan ia tidak memberi nilai tambah kepada pusat pengajian tersebut.
“Sangat tak setuju. Kekalkan nama sedia ada. Dah dibuat dulu (perubahan nama) nak ditukar semula kenapa? Institusi pengajian tinggi tidak menjadi lebih baik kualitinya dengan menukar nama kepada nama lain. Pusat ilmu, tidak diukur dengan hanya tukar nama,” kata seorang bekas pelajar UPM.
Malah ramai juga berkata pertukaran nama tersebut akan ‘memakan’ kos perbelanjaan yang tinggi.
“Tak tukar pun tak apa. Nanti banyak pula duit nak kena keluar untuk penjenamaan semula ni. Papan tanda semua nak kena tukar. Surat rasmi, segala jenis sijil nak kena baru. Lebih elok perkasakan je fungsi universiti tu,” kata seorang lelaki.
Sementara itu, ada juga yang berkata cadangan terbabit adalah tidak relevan memandangkan UPM juga mempunyai fakulti bidang lain selain pertanian.
“Tukar nama ni besar impak dia. UPM ni memanglah bidang besar dia pertanian tetapi banyak lagi kursus lain. Tukar nama kalau tak ada keperluan tak payahlah. Kacau (ubah) bab lain contohnya macam mana nak tingkatkan prestasi penyelidikan di universiti dan sebagainya,” ujar seorang individu.
Belanjakan Kos Untuk Penambahbaikan Fasiliti Pelajar
Segelintir individu dipercayai golongan pelajar turut memberi saranan agar menggunakan peruntukan sedia ada untuk membaiki segala kemudahan siswazah di UPM.
“Tak habis-habis bazir duit. Bagi je duit tu guna untuk pelajar, makmal dan peralatan. Naik taraf yang dah buruk-buruk tu. Penjenamaan semula tanpa sebab buang duit je,” kata seorang lelaki.