fbpx
Now Reading
TikTok Kecewa Australia Larang Kanak-kanak & Remaja Bawah 16 Tahun Guna Media Sosial

TikTok Kecewa Australia Larang Kanak-kanak & Remaja Bawah 16 Tahun Guna Media Sosial

Menurut jurucakap TikTok, pihaknya bimbang jika larangan itu menyebabkan golongan muda mencari alternatif lain di platform yang tidak terkawal atau tidak selamat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada zaman ini, boleh dikatakan hampir keseluruhan orang tanpa mengira usia di serata dunia termasuk Malaysia mempunyai akaun media sosial tersendiri.

Tidak disangkal, penggunaan media sosial sebagai platform komunikasi dan perkongsian mempunyai kebaikannya yang tersendiri.

Pun begitu, tidak dinafikan juga ia boleh mendatangkan kesan buruk jika penggunaannya tidak dikawal terutama bagi golongan remaja dan kanak-kanak.

Perkara itu mendorong Senat Australia pada semalam (28 November) untuk meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial seperti:

  • TikTok
  • Instagram
  • Snapchat
  • Facebook
  • Reddit
  • X

TikTok bimbang remaja bawah 16 tahun cari alternatif lain di platform yang tak terkawal

Terbaharu, TikTok menyatakan kekecewaannya terhadap undang-undang berkenaan kerana bimbang larangan terhadap pengunaan media sosial untuk individu di bawah 16 tahun akan menyebabkan golongan muda mencari alternatif lain di platform yang tidak terkawal atau tidak selamat.

Menurut RTM yang memetik AFP, TikTok mendakwa kerajaan Australia tidak mengambil kira pandangan pakar yang mencadangkan pendekatan lebih seimbang atau pratikal.

“Kerajaan telah mengabaikan nasihat pakar. Larangan ini berpotensi mendorong mereka mencari platform alternatif di ‘sudut gelap internet’ iaitu laman web atau platform yang tidak mempunyai peraturan, panduan keselamatan, atau perlindungan.

“Ini boleh meningkatkan pendedahan seperti kandungan berbahaya, penipuan, atau eksploitasi tanpa kawalan atau pemantauan yang mencukupi,” kata jurucakap TikTok.

Undang-undang penggunaan media sosial akan berkuat kuasa hujung tahun depan

Terdahulu, undang-undang individu di bawah 16 tahun menggunakan media sosial itu diluluskan pada hari terakhir sesi Senat dan ia akan berkuat kuasa pada penghujung tahun 2025.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mempertahankan langkah itu dengan menyatakan ia adalah perlu untuk melindungi kesihatan mental dan kesejahteraan mereka (kanak-kanak dan remaja).

Bagaimanapun, di bawah undang-undang baharu itu, syarikat media sosial tidak boleh memaksa pengguna untuk memberikan pengenalan rasmi kerajaan, termasuk ID digital, untuk menilai umur mereka, menurut ABC News.

Cadang denda RM144 juta bagi platform yang gagal patuhi peraturan

Undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat Parlimen pada Rabu (27 November), turut mencadangkan denda berat sehingga AU$50 juta (kira-kira RM144 juta) bagi platform yang gagal mematuhi peraturan itu.

Seramai 34 senator mengundi menyokong manakala 19 menentangnya.

Namun, Dewan Perwakilan meluluskan undang-undang ini dengan sokongan 102 undi berbanding hanya 13 Ahli Parlimen yang menentang larangan itu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.