Arena Kepayang Putra Di Ipoh Pertama Kali Dilanda Banjir Kilat Sejak 28 Tahun Diduduki [Video]
Nga Kor Ming menyifatkan banjir kilat yang berlaku di Arena Kepayang Putra, Ipoh sebagai mengejutkan kerana tidak pernah berlaku setelah hampir 30 tahun kawasan itu didiami.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Situasi banjir di dalam negara kini mencatatkan seramai 134,891 mangsa yang ditempatkan di 631 Pusat Penempatan Sementara (PPS) seluruh negara setakat 10.20 pagi tadi (2 Disember).
Menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi diikuti Terengganu dan Kedah.
Lain-lain negeri yang terlibat ialah Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak dan Perlis.
Di Ipoh, Perak, penduduk dikejutkan apabila banjir terjadi di kawasan yang tidak pernah ditimpa bencana alam tersebut sebelum ini.
Banjir Pertama Kali Berlaku Dalam Tempoh 28 Tahun
Semalam (1 Disember), banjir kilat telah melanda kawasan perumahan di Arena Kepayang Putra, Fair Park, Ipoh sehingga ratusan rumah dinaiki air setinggi kira-kira 1.2 meter.
Penduduk menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak dijangka memandangkan ia merupakan kali pertama banjir berlaku dalam tempoh 28 tahun menetap di sana.
Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah bertugas bagi membawa keluar semua mangsa yang terperangkap dalam banjir, susulan paras air semakin meningkat.
“Paras Sungai Kinta Meningkat, Tebatan Banjir Pecah” – Pengarah JBPM Perak
Pengarahnya Sayani Saidon berkata perumahan awam tersebut mempunyai kepadatan kawasan rumah sekitar 500 unit.
“Pada masa ini hujan telahpun berhenti dan paras air pun semakin menyusut tapi kita fokuskan untuk kerja penyelamatan ini. Saya minta supaya kita jalankan dengan secepat mungkin.
“Tempat ini pun penduduk kata 25 tahun duduk sini tak pernah naik air tapi kerana paras Sungai Kinta meningkat dan tebatan banjir pecah itu sebab air masuk,” ujarnya dipetik Awani semalam.
Menerusi hantaran di Facebook Bomba Perak Official, operasi menyelamat dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan BBP Simpang Pulai, dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Pejabat Daerah dan Tanah Ipoh serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Setakat 5.30 petang semalam, 114 orang penduduk yang terperangkap di dalam rumah berjaya diselamatkan.
“Dalam Taman Ni Banyak OKU” – Penduduk Arena Kepayang Putra
Dalam pada itu, seorang penduduk, Datuk Amaluddin Mohd Ismail, berkata ramai orang kurang upaya (OKU) yang menduduki taman tersebut dan mempersoalkan bagaimana banjir boleh terjadi.
Dia turut mengalami kerugian lebih ratusan ribu ringgit akibat empat kenderaan mewahnya yang ditenggelami air.
“Saya duduk di Arena Kepayang Fair Park ini dalam 28 tahun dan saya pun tak pernah tengok macam ini… air naik hingga ketinggian 5 kaki.
“Dalam taman ini banyak OKU, ada banyak kereta semua dah rosak. Dalam rumah sudah ditenggelami air sedalam 4 kaki, ada yang 2 kaki. Macam mana boleh banjir seperti ini?” katanya kepada Awani.
Nga Kor Ming Minta JPS & MBI Siasat Punca Banjir
Dalam perkembangan terkini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, berkata pihaknya sedang menunggu laporan bagi insiden tersebut dan akan meneliti langkah terbaik untuk mengatasinya.
Dia juga menyifatkan kejadian banjir kilat yang berlaku buat pertama kali di Arena Kepayang Putra sebagai mengejutkan kerana tidak pernah berlaku setelah hampir 30 tahun kawasan itu didiami.
“Untuk kawasan Kepayang, saya masih lagi menunggu laporan. Di Fair Park dulu tak pernah berlaku macam ini, kita sedang cari punca apa sebabnya,” katanya.
Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, berkata pusat khidmatnya telah menyantuni penduduk dan berusaha mengagihkan bantuan.
Tambahnya lagi, punca kejadian akan disiasat memandangkan sungai berdekatan telah dilebarkan sebelum ini yang sepatutnya dapat menampung lebihan aliran deras.
“Saya arahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya mengenal pasti punca banjir di kawasan tersebut untuk kita buat pencegahan pada masa akan datang,” jelasnya dipetik Kosmo.
Banjir Didakwa Berlaku Setelah Hujan Berhenti
Terdahulu, satu video yang menyaksikan kejadian banjir di Arena Kepayang Putra telah dimuat naik di TikTok (@jjcmperak).
Menerusi penjelasan pada video terbabit, banjir terjadi secara tiba-tiba sekitar 1.55 petang semalam walaupun hujan telah berhenti ketika itu. Dapat dilihat keadaan di sana menunjukkan keadaan air banjir termenung di mana tingginya hampir mencecah paras pagar rumah.
Bencana yang melanda tanpa dijangka itu menyebabkan banyak kenderaan turut tenggelam kerana tidak sempat diselamatkan.
Menurut JJCM@Perak, beberapa kawasan lain di sekitar Ipoh turut terjejas semalam termasuk Tasek, Kampung Sri Kinta dan Tanjung Rambutan.