KJ & Hishammuddin Mungkin Boleh Sertai Semula UMNO Jika Tunjuk Komitmen Seperti Tajuddin
Presiden UMNO, Zahid Hamidi berkata, Tajuddin juga menunjukkan komitmen dan sokongannya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota selain turut menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Penggantungan keahlian UMNO buat Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun telah ditarik serta merta berkuat kuasa pada 25 November lalu.
Keputusan itu diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang secara sebulat suara melepaskan dan menarik semula penggantungan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu.
Ia dilakukan selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO.
Ahli UMNO yang dibuang & pecat boleh sertai semula jika tunjuk komitmen seperti Tajuddin
Terbaharu, bekas pemimpin UMNO iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin yang dikenakan tindakan sebelum ini mungkin boleh dipertimbangkan sekiranya mereka menunjukkan komitmen seperti Tajuddin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Tajuddin menghantar empat kali surat rayuan untuk kembali bersama parti sepanjang beliau digantung.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas ditanya sama ada UMNO sedia mempertimbangkan kemasukan semula Hishammudin yang juga bekas Naib Presiden UMNO (digantung enam tahun), Khairy (bekas Ketua Pemuda dipecat sebagai ahli) dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdan (digantung enam tahun).
“Jika ada lain-lain ahli UMNO yang melakukan tindakan sama sebagaimana yang dibuktikan Tajuddin (hantar surat rayuan)…saya tidak nampak jika ahli-ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) juga tidak boleh lakukan keputusan sama,” katanya dipetik Berita Harian.
Tajuddin tunjuk komitmen dengan beri sokongan ketika PRK dan hadiri PAU
Menurutnya, Tajuddin juga menunjukkan komitmen dan sokongannya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota selain turut menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
“Beliau telah datang memperlihatkan dokongannya sewaktu PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan dan DUN Mahkota, Johor.
“Beliau juga hadir dalam PAU lalu dan saya tidak nampak kenapa Majlis Tertinggi (MKT) tidak bersetuju dengan rayuan beliau,” katanya.
Industri hiburan hanya persinggahan, KJ akan kembali ke dunia politik
Sementara itu, Khairy Jamaluddin atau lebih mesra disapa KJ menerusi satu temubual pada Oktober lalu turut menyatakan bahawa beliau akan kembali semula ke dalam bidang politik.
KJ menyatakan perkara itu selepas ditanya adakah beliau akan kekal lama dalam industri hiburan yang ketika ini diceburinya.
“Saya rasa dunia baru ini (industri hiburan) saya hanya singgah sekejap sahaja dan mungkin dalam masa yang sesuai, saya akan kembali ke alam semula jadi saya (dunia politik), cuma bila itu saya tak tahu,” katanya kepada media.