fbpx
Now Reading
“Tak Mahu Panjangkan Isu Ini” – Mat Sabu Akur Dengan Keputusan Sultan Selangor Untuk Kekalkan Nama UPM
tukar nama UPM

“Tak Mahu Panjangkan Isu Ini” – Mat Sabu Akur Dengan Keputusan Sultan Selangor Untuk Kekalkan Nama UPM

Sultan Selangor sebelum ini bertitah bahawa cadangan menukar semula nama UPM oleh Mohamad Sabu itu tidak dirujuk terlebih dahulu kepada baginda selaku Canselor Universiti Putra Malaysia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 28 November lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata beliau akan mengemukakan cadangan untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia kepada kabinet untuk dibincangkan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menjelaskan cadangan nama terbabit adalah sesuai selepas mengambil kira keutamaan Malaysia yang kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan selain bagi memajukan sektor pertanian negara.

Hebahan cadangan ini kemudiannya telah mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai menerusi platform media sosial yang majoritinya tidak bersetuju.

Baca Artikel Berkaitan: Cadangan Mat Sabu Tukar Nama UPM Ke Universiti Pertanian Malaysia Undang Pelbagai Reaksi


Mat Sabu Tak Mahu Panjangkan Isu Tukar Nama UPM, Akur Titah Sultan Selangor

Bagaimanapun, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan baginda tidak bersetuju dengan cadangan Mat Sabu.

Terbaharu, Mohamad Sabu memaklumkan beliau tidak lagi mahu membangkitkan cadangan sebelum ini iaitu untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia.

Menurut Mat Sabu, beliau akur dan menghormati titah Sultan Sharafuddin yang juga Canselor universiti terbabit bagi mengekalkan nama universiti sedia ada.

“Saya mengambil maklum bahawa keputusan dibuat baginda Sultan Selangor dan Canselor UPM adalah muktamad.

“Saya tidak mahu panjangkan isu ini apa-apa lagi. Saya akur dan itu adalah keputusan yang baik,” ujar beliau.

Sumber: Study in Malaysia

Cadangan Tukar Nama UPM Tak Dirujuk Dengan Sultan Selangor

Terdahulu, Sultan Sharafuddin tidak berkenan cadangan Mohamad Sabu untuk menukar semula nama UPM kepada Universiti Pertanian Malaysia.

Sultan Sharafuddin bertitah, cadangan tersebut tidak dirujuk terlebih dahulu kepada baginda selaku Canselor Universiti Putra Malaysia dan juga Lembaga Pentadbir Universiti Putra Malaysia.

“Beta telah membaca satu kenyataan dari seorang menteri, Mohamad bin Sabu yang mencadangkan untuk menukarkan semula nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia.

“Oleh yang demikian, Beta tidak berkenan dengan cadangan tersebut. Di sini Beta menegaskan bahawa nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana Beta telahpun melancarkan jenama Putra yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’.

“Kursus-kursus pengajian yang utama di Universiti ini ialah di bidang pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan, kursus-kursus di bidang lain juga ada disediakan di Universiti Putra Malaysia,” titah baginda.


Perlu Teliti Sejarah Sebelum Kemukakan Kenyataan

Tambah baginda lagi, nama Universiti Putra Malaysia dipilih bersempena dengan nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

“Oleh itu, di sini Beta ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat apa-apa kenyataan, terutama yang membabitkan Universiti Putra Malaysia,” titah Sultan Selangor.


Bidang Pertanian Ada Potensi Tinggi & Mampu Beri Peluang Lumayan Kepada Petani

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mengesyorkan UPM supaya menjalinkan kerjasama dengan institusi pertanian lain sebagai contoh Felda, Felcra, Mardi, Nafas dan KPKM bagi mencari solusi untuk menaikkan semula sektor pertanian di Malaysia terutamanya kepada generasi muda.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Malay Mail

“Pandangan negatif masyarakat yang melabelkan bidang pertanian sebagai bidang yang tiada masa depan atau kelas rendah perlu diubah.

“Sebaliknya masyarakat perlu yakin bahawa bidang pertanian mempunyai potensi dan masa depan yang cerah serta mampu memberikan peluang yang lumayan kerana produk asas tani sentiasa mempunyai permintaan tinggi.

“Selain itu, bidang pertanian juga dapat membantu bidang lain terutama sektor yang berasaskan pertanian untuk berkembang maju seiring dengan kepesatan teknologi.

“Usaha ini perlu dilaksanakan kerana pertanian tetap menjadi satu sektor yang perlu dikekalkan dan adalah sektor yang penting,” titah Sultan Sharafuddin.


Kepakaran Graduan & Penyelidik UPM Boleh Tingkatkan Sektor Pertanian Negara

Baginda bertitah, peningkatan hasil kajian dan penyelidikan oleh UPM boleh menerajui usaha bagi membangunkan sektor pertanian moden dan industri hiliran yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada golongan petani.

“Kerjasama dengan pihak kerajaan negeri juga boleh diadakan bagi mengenal pasti kawasan-kawasan tanah yang boleh diusahakan untuk pertanian moden.

“Di samping itu juga UPM perlu meningkatkan kajian dan penyelidikan bagi menemukan prosedur pertanian tanpa memerlukan penggunaan tanah yang luas contohnya seperti pertanian secara hidroponik dan agroponik.

“Dengan kepakaran yang ada, graduan dan penyelidik UPM dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara dan memodenkan bidang pertanian.

“Diharap dengan usaha-usaha yang dilakukan dan penglibatan aktif UPM terhadap idea-idea baru dalam keberhasilan pertanian, negara akan dapat mengurangkan import makanan pada masa hadapan,” titahnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.