Zahnita Wilson merupakan seorang model terkenal dan sering tampil menjadi wajah untuk peragaan baju dan sebagainya suatu masa dahulu.
Namun baru-baru ini, nama bekas model terkenal ini menjadi perhatian ramai selepas dia mendedahkan menjadi mangsa keganasan rumah tangga di media sosial.
Malah apa yang lebih mengejutkan, Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson turut berkongsi satu foto di Instagram memaparkan wajahnya yang mengalami lebam di bahagian bawah mata.
Zahnita turut memaklumkan dia terpaksa berkongsi gambar tersebut ia adalah sebab wanita itu terpaksa meninggalkan rumah lamanya.
“Saya tak nak melakukannya tetapi saya terpaksa. Ini adalah sebab saya meninggalkan rumah lama dan sebab adakalanya saya memakai cermin mata hitam,” jelasnya.
Polis tahan suami model terkenal selepas isteri dakwa jadi mangsa keganasan rumah tangga
Susulan daripada perkongsian itu, polis telah bertindak menahan suami model terkenal berkenaan.
Penahanan lelaki itu turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan mengenai penahanan berkenaan.
“Ya, suspek sudah pun ditahan hari ini (2 Disember),” ujarnya, dipetik Kosmo.
Sebelum ini, wanita berusia 39 tahun itu turut mengakui telah lama menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Jelasnya pergaduhan dengan suami berlaku apabila model terkenal itu bertanya tentang isu orang ketiga dalam perkahwinan mereka.
Turut difahamkan model tersebut kini berada di Kuantan, Pahang dan sedang menunggu peguam dari Kuala Lumpur untuk membincangkan mengenai tindakan lanjut berhubung kes berkenaan.