Fitnah Terhadap Pemimpin DAP, Siti Mastura Diarah Bayar RM825,000
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan Kit Siang, Guan Eng dan Teresa mempunyai hubungan dengan komunis sebagi fitnah dan tidak disokong bukti.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sekitar November tahun lalu, Ahli Parlimen Kuala Batas Dr. Siti Mastura Muhammad pernah mengeluarkan dakwaan berkaitan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang.
Siti Mastura dalam ucapannya ketika ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil Kemaman (PRK) pada 4 November 2023 mendakwa Guan Eng dan Kit Siang mempunyai hubungan keluarga dengan Pemimpin Komunis, Chin Peng.
Dia juga turut mengaitkan mereka mempunyai pertalian dengan pemimpin Singapura, Lee Kuan Yew selain mendakwa isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng mempunyai hubungan keluarga dengan Teresa Kok Suh Sim serta beberapa pemimpin DAP yang lain.
Dakwaan itu disifatkan melampau oleh Guan Eng sehingga dia mengambil tindakan terhadap Siti Mastura selepas MP Kepala Batas itu gagal mengemukakan bukti dakwaan tersebut sepanjang tempoh dua hari yang diberikan oleh Guan Eng.
Baca Artikel Berkaitan: Dituduh Ada Hubungan Keluarga Dengan Chin Peng, Guan Eng Beri 2 Hari Kepada Mastura Kemuka Bukti
Baca Artikel Berkaitan: Lim Guan Eng Lantik Peguam, Mula Ambil Tindakan Terhadap Siti Mastura
Kenyataan Siti Mastura Adalah Fitnah & Tidak Disokong Bukti
Semalam (4 Disember), Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan Kit Siang, Guan Eng dan Teresa mempunyai hubungan dengan komunis sebagi fitnah dan tidak disokong bukti.
Menurut Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon dalam prosiding yang dilaksanakan melalui Zoom mendapati Siti Mastura yang merupakan defendan bertindak dengan niat jahat dan pembelaan terhadapnya berdasarkan alasan komen adil dan keistimewaan bersyarat tidak dapat diterima.
Mahkamah Arah Bayar Ganti Rugi RM825,000
Susulan itu, Mahkamah kemudiannya mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, RM200,000 kepada Guan Eng dan Teresa Kok sebanyak RM200,000 serta RM25,000 kepada setiap plaintif sebagai kos.
Penetapan ganti rugi tertinggi sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang diberi kerana beliau merupakan figura terkenal dan ahli politik senior selain mendapat gelaran Tan Sri daripada Yang di Pertuan Agong (YDPA).
“Saya berpuas hati bahawa kata-kata yang dipertikaikan secara biasa dan semula jadi itu cenderung mendedahkan plaintif kepada kebencian awam serta merendahkan mereka dalam anggapan anggota masyarakat yang berfikiran rasional secara amnya.
“Perlu diperhatikan bahawa plaintif dikaitkan dengan aktiviti jahat dalam bersekongkol dengan elemen komunis, justeru mendedahkan mereka kepada kebencian dan menghasut pendapat awam yang buruk.
“Ia melampaui kritikan politik biasa dan telah melintasi sempadan apabila kata-kata yang dipertikaikan itu menyerang watak dan nilai plaintif,” katanya.
Jelas Chew Soon, kata-kata yang dipertikai itu merujuk kepada fitnah bahawa Kit Siang adalah sepupu Chin Peng dan Kuan Yew, dan Teresa pula adalah sepupu kepada Isteri Guan Eng.
Menurut beliau lagi, Siti Mastura telah membuat kenyataan provokatif dengan mengaitkan plaintif bersama parti politik yang dilarang serta membuat sindiran yang tidak menyenangkan dengan mengaitkan plaintif dan komunisme.
Pergantungan Kepada Buku Tidak Boleh Diterima Kerana Tidak Dapat Disahkan Kewujudan
Chew Soon turut menjelaskan pergantungan terhadap buku bertajuk Comms Barisan Nasional tidak dapat diterima memandangkan penerbitan tersebut tidak dapat disahkan kewujudannya.
Malah, pihak pembelaan juga gagal memanggil individu yang menerbitkan naskhah terbabit bagi memberi keterangan hingga menyebabkan buku tersebut dianggap sebagai dokumen hearsay (khabar angin) dalam proses perbicaraan.
“Buku kempen itu tidak mempunyai kredibiliti dan tidak boleh dianggap sahih. Asalnya kekal misteri. Seorang pegawai tinggi dari UMNO tidak mengetahui mengenai buku kempen itu dan penerbitannya tidak dapat disahkan.
“Buku kempen itu tidak mempunyai ketepatan, tiada tahun penerbitan, penulis, penerbit, atau nombor ISBN/ISSN, dan tidak boleh dianggap boleh dipercayai.
“Walaupun memegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan mempunyai pengetahuan mengenai amalan yang baik seperti yang digariskan dalam metodologi penyelidikan, defendan memilih untuk menyebarkan maklumat tidak berasas semata-mata berdasarkan buku kempen BN,” katanya.
Siti Mastura Boleh Dapat Penjelasan Terus Daripada Guan Eng & Teresa
Tambah Chew Soon lagi, MP Kepala Batas itu sebenarnya boleh mendapat penjelasan terus mengenai perkara itu sebelum membuat kenyataan sedemikian daripada Guan Eng dan Teresa memandangkan masing-masing berada dalam Dewan Rakyat.
“Dengan mengelak daripada membuat pertanyaan untuk memastikan kebenaran, defendan gagal menyemak fakta dengan secukupnya mengenai kenyataannya.
“Walaupun kepentingan awam dalam perdebatan politik diiktiraf, ia tidak memberikan kebebasan mutlak untuk membuat kenyataan mengelirukan yang merosakkan reputasi orang lain,” katanya.
Dalam prosiding tersebut, Siti Mastura diwakili peguam Yusfarizal Yusoff manakala Datuk Sankara Narayanan Nair mewakili plaintif.
Baca Artikel Berkaitan: