fbpx

Tiada Objektif & Sasaran Pencapaian Jelas, JKPK Cadang Agar PLKN 3.0 Tak Diteruskan

Menurut JKPK, satu kajian yang lebih mendalam dan terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu sekiranya kerajaan tetap ingin meneruskan PLKN 3.0.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada mengumumkan mengenai peruntukan untuk pelaksanaan Program Latihan Khidmat Masyarakat (PLKN) 3.0 bagi 2025.

Anwar menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu berkata, sebanyak RM50 juta akan diberikan kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk melaksanakan program itu.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, PDRM dan agensi beruniform lain yang akan turut terlibat dalam menjayakan PLKN 3.0 juga bakal menggunakan prasarana sedia ada dengan kerjasama Akademi Kenegaraan.

Baca Artikel Berkaitan: PLKN 3.0 Kembali Pada 2025, Kerajaan Sedia Peruntukan RM50 Juta

JKPK cadang tidak teruskan pelaksanaan PLKN

Terbaharu, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia mencadangkan agar kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0.

JKPK menerusi satu kenyataan berkata, kajian yang lebih mendalam dan terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu sekiranya kerajaan tetap ingin meneruskan PLKN 3.0.

Difahamkan, pendirian JKPK itu dibuat berdasarkan beberapa justifikasi selepas mengadakan mesyuarat pada 3 Disember lalu bagi mendengar taklimat daripada Mindef dan Malaysia Institute of Defence and Security (MiDAS) berkenaan laporan penilaian serta keberkesanan PLKN 3.0.

“Pelaksanaan PLKN 3.0 tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas. Sekiranya PLKN 3.0 ingin dilaksanakan juga, maka, matlamat dan modulnya hendaklah berasaskan latihan ketenteraan atau separa-ketenteraan. Tetapi, persoalannya adakah negara memerlukan PLKN yang sedemikian?

“Selain itu, modul PLKN 3.0 yang dicadangkan ini adalah bercampur-aduk, iaitu 70 peratus Asas Ketenteraan dan 30 peratus Kenegaraan,” katanya dipetik Kosmo.

Sebahagian kandungan modul PLKN 3.0 tiada kaitan dengan Asas Ketenteraan

Menurutnya lagi, modul PLKN 3.0 yang dicadangkan memberi penekanan 70% dalam Asas Ketenteraan namun sebahagian daripada kandungannya tidak mempunyai kaitan dengan Asas Ketenteraan.

“Kandungan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kandungan-kandungan Kenegaraan dan lain-lain (iaitu yang bukan Asas Ketenteraan) dapat disampaikan melalui program-program atau institusi-institusi pendidikan sedia ada dan sebagainya.

“Kajian-kajian mendapati bahawa PLKN 1.0 dan 2.0 tidak meninggalkan kesan positif jangka panjang di kalangan calon-calon. Dengan kata lain, ia kurang berkesan,” katanya.

PLKN libatkan kos yang tinggi, tapi kesan positif tak seberapa

Berkongsi lanjut, JKPK berkata PLKN 1.0, 2.0 dan 3.0 juga melibatkan kos pelaksanaan yang amat tinggi, berbanding kesan positif yang tidak seberapa.

“Sedangkan kesan positif yang sama itu boleh didapatkan melalui program-program atau institusi-institusi pendidikan yang sedia ada, dan sebagainya,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.