Pegawai Kanan Polis Pandu Ativa 90.9 Km/j Semasa Langgar Zaharif, Brek Tidak Ditekan Langsung – Saksi
Menurut Pembantu Teknikal Perodua, ketika perlanggaran berlaku, lampu brek tidak menyala membawa maksud pedal brek tidak ditekan langsung semasa data direkodkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada Disember 2023 lalu, negara digemparkan dengan berita kematian seorang pelajar lelaki tingkatan 5, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie selepas dia dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru.
Lebih mengejutkan, Muhammad Zaharif dilaporkan dilanggar oleh pegawai kanan polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak yang memandu Perodua Ativa putih.
Kejadian tersebut mendapat perhatian ramai pihak yang menuntut agar keluarga mangsa mendapat pembelaan sewajarnya atas kematian pelajar terbabit.
Perodua Ativa putih dipandu 90.9 km/j ketika Zaharif dilanggar
Terbaharu, Pembantu Teknikal Perodua, Ameerul Aidil Adha Jamharuddin memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh pada semalam (5 Disember) bahawa Perodua Ativa putih terbabit memecut pada kelajuan 90.9 kilometer per jam (km/j) ketika melanggar Muhammad Zaharif.
Ameerul, 31, yang juga saksi pendakwaan ke-25 itu berkata, kelajuan tersebut diperoleh dari ‘sistem Antilock Brake System atau Vehicle Stability Control (ABS/VSC) dalam Perodua Ativa berkenan yang menyimpan segala data operasi keselamatan kenderaan.
Menurutnya, ketika perlanggaran berlaku, lampu brek tidak menyala membawa maksud pedal brek tidak ditekan langsung semasa data direkodkan.
Sistem ABS/VSC rekod pedal minyak ditekan sepenuhnya
Jelasnya lagi, sistem ABS/VSC juga merekodkan pedal minyak dalam keadaan penggunaan maksimum 100% dan posisi stereng pada -2.5 darjah iaitu keadaan tayar dalam posisi tegak dan Ativa bergerak lurus ketika perlanggaran terjadi.
“ABS/VSC merekod satu data sahaja iaitu Pre-Collision Brake (PB) dan tiada data Brake Assist (BA) direkodkan.
“PB adalah amaran kepada pemandu sekiranya ada kenderaan atau pejalan kaki di hadapan, manakala BA adalah bantuan brek sekiranya hampir berlaku pelanggaran.
“Bagaimanapun, BA tidak akan berfungsi sekiranya pemandu mengatasi (override) sistem ini dengan cara mengelak, membrek atau memecut kenderaan,” katanya dipetik Harian Metro.
Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada hari ke-13 prosiding perbicaraan kes terbabit.
BA tidak beroperasi kerana kereta dalam situasi memecut
Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, saksi itu menjelaskan, memandangkan pedal minyak dalam keadaan penggunaan maksimum 100% atau dalam bahasa mudah pedal minyak ditekan sepenuhnya, maka BA tidak beroperasi kerana situasi memecut.
Dalam pada itu, Ameerul berkata, pemeriksaan yang dilakukannya pda 11 pagi, 3 Januari lalu itu juga mendapati tidak terdapat perakam video pada kenderaan itu.
“Untuk model Ativa variasi Advance ini sepatutnya dipasangkan perakam video tetapi saya dapati perakam video pada kenderaan itu sudah tiada,” katanya.
Pegawai kanan polis boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.