fbpx
Now Reading
ADUN PAS Dikecam, Persoal Peruntukan Makanan RM8.5 Juta Untuk Jemaah Solat Jumaat Di Pahang [Video]

ADUN PAS Dikecam, Persoal Peruntukan Makanan RM8.5 Juta Untuk Jemaah Solat Jumaat Di Pahang [Video]

ADUN Sungai Lembing, Mohamad Ayub meluahkan rasa terkilan dan kecewanya dengan peruntukan berjumlah RM8.5 juta yang khusus untuk program itu sahaja.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Program Juadah Makmur (JM) buat tahun kedua yang diumumkan oleh Kerajaan Pahang semasa Pembentangan Belanjawan 2025 bagi negeri itu telah mendapat sambutan yang baik daripada ramai pihak.

Ini kerana inisiatif menyediakan juadah makanan kepada jemaah masjid di seluruh negeri itu pada hari Jumaat dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan yang memerlukan.

Ramai bersetuju usaha kerajaan Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk melaksanakan program JM itu bukan sahaja meringankan beban masyarakat, tetapi dapat memupuk nilai murni dalam berkongsi rezeki.

ADUN PAS bersetuju, namun kecewa dengan peruntukan RM8.5 juta untuk program Juadah Makmur

Bagaimanapun, peruntukan khusus untuk program terbabit menimbulkan persoalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing (PAS), Mohamad Ayub Mat Ashri.

Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Mohamad Ayub meluahkan rasa terkilan dan kecewanya dengan peruntukan berjumlah RM8.5 juta yang khusus untuk program itu sahaja.

“Saya masih lagi tidak jelas apakah objektif utama pelaksanaan program ini. Jika ingin berkongsi rezeki, terdapat lebih banyak cara yang baik dan efisyen untuk berkongsi rezeki dengan rakyat.

“Alangkah baiknya jika peruntukan ini diperuntukan kepada kami wakil rakyat pembangkang yang tidak menerima peruntukan yang adil untuk kawasan kami,” katanya.

Menurutnya, beliau bersetuju mengenai program JM untuk berkongsi rezeki dengan rakyat, namun mempertikaikan tentang peruntukan RM8.5 juta itu.

Juadah Makmur bukan hanya dinikmati rakyat, tetapi warga asing yang tidak mengundi

Ujar Mohamad Ayub, JM bukan hanya diberi kepada rakyat yang tidak berkemampuan, malahan lebih banyak dinikmati oleh warga asing yang tidak mengundi.

Menurutnya lagi, peruntukan kerajaan negeri boleh dimanfaatkan untuk pelbagai bantuan dan program yang lebih tepat kepada sasaran dan memberikan impak kepada rakyat Pahang.

Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat ke-3 Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada Isnin lalu (2 Disember).

Juadah Makmur salah satu inisiatif kerajaan negeri berkongsi rezeki dengan rakyat

Terbaharu, Wan Rosdy yang juga ADUN Jelai menjelaskan program JM merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk berkongsi rezeki kepada rakyat.

“Pemberian makanan secara percuma merupakan amalan yang sangat digalakkan dan dituntut oleh Rasulullah SAW,” kata Wan Rosdy bagi menjawab isu terbabit yang dibangkitkan Mohamad Ayub.

Jelas beliau, Juadah Makmur ini juga bukan hanya kepada jemaah solat Jumaat sahaja, malah turut diberikan kepada jemaah haji menerusi pek makanan ‘ready to eat’.

“Malah, program ini juga turut memberikan limpahan ekonomi kepada pengusaha-pengusaha makanan, pembekal-pembekal bahan mentah, serta pekera-pekerja mereka.

“Oleh itu, sebagai Ahli Yang Berhormat daripada parti PAS, saya rasa Sungai Lembing lebih tahu dan arif mengenai amalan memberi makanan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW tanpa mengambil kira sesiapa pun penerimanya kerana memberi makan kepada orang lain merupakan satu amalan mulia yang sangat diberkati di dalam Islam,” katanya dalam video yang dimuat naik Media Pahang TV.

Mohamad Ayub dikecam kerana persoal peruntukan program JM

Sementara itu, menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok @tbpahang mengenai perbahasan ADUN Sungai Lembing itu, kelihatan rata-rata pengguna media sosial menyelar tindakannya yang mempersoal mengenai peruntukan terbabit.

Tidak kurang juga yang mengecam beliau kerana seolah-olah tidak bersetuju rezeki makanan tersebut turut dikongsikan kepada warga asing yang datang ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Bukan itu sahaja, perkara itu turut dibangkitkan seorang pengguna media sosial yang juga dipercayai penyokong Kerajaan Perpaduan yang menyelar tindakannya mempersoalkan perkara itu.

Jelasnya, perkara baik yang dilakukan kepada rakyat tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana ahli politik.

Berikut komen yang diberikan netizen:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.