Isu Batu Puteh: “Saya Tidak Fikir Niat Tun M Untuk Khianati Malaysia”- KJ [Video]
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut menyifatkan tindakan mendakwa Tun Dr Mahathir bagi kes Batu Puteh sebagai amat tidak adil terutamanya jika ia hanya berdasarkan teknikaliti.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan siasatan jenayah terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilakukan berhubung keputusan menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) mengenai Batu Puteh.
Laporan RCI setebal 217 muka surat mengesyorkan laporan polis dibuat untuk memulakan siasatan jenayah dan ia telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
Hal ini selepas keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan tafsiran penghakiman ICJ dibuat oleh Tun Mahathir melalui surat pada 21 Mei 2018 dikatakan tanpa persetujuan Jemaah Menteri.
Tindakan heret Tun M ke muka pengadilan bukan langkah yang tepat
Terbaharu, bekas ahli UMNO, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan menyatakan tindakan mengheret Tun Mahathir atau mesra disapa Tun M ke muka pengadilan atas tuduhan jenayah berkaitan isu Batu Puteh mungkin bukan langkah yang tepat.
Mereka berkata demikian semasa program audio siar (podcast) Keluar Sekejap di YouTube pada Jumaat lalu (6 Disember).
Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ dan Shahril berpendapat bahawa tindakan mendakwa bekas pemimpin yang berusia 99 tahun itu mungkin tidak perlu memandangkan sumbangan beliau kepada negara.
“Tun M akan sentiasa menjadi tokoh yang memberikan pendapat. Akan ada mereka yang menyukainya, yang berpendapat beliau memerintah dengan tegas dan ada juga yang merasakan beliau memodenkan Malaysia.
“Apabila kita merenung sejarah dan legasi seseorang individu, kita perlu ingat bahawa mereka tidak sempurna dan kedua-dua pandangan itu boleh diterima.
“Tetapi individu ini (Tun M) kini usianya hampir 100 tahun. Saya tidak melihat beliau sebagai ancaman atau beban kepada rakyat Malaysia atau kepada mana-mana pemimpin politik pada masa ini. Eranya telah berakhir,” kata Shahril.
Sumbangan Tun M kepada negara tidak boleh dinafikan – Shahril
Ujar Shahril, walau apapun kritikan yang dilemparkan kepada Tun M, sumbangannya kepada negara tidak boleh dinafikan.
“Jadi, melainkan kita bercakap mengenai jenayah yang sangat serius, seperti mencuri wang barulah saya fikir wajar untuk mempertimbangkan sama ada kita perlu mendakwa atau memulakan prosiding jenayah terhadap seseorang seusia beliau, terutamanya seseorang yang telah banyak berjasa kepada negara,” kata bekas Ketua Penerangan UMNO itu.
Jelasnya lagi, cadangan RCI untuk memulakan siasatan jenayah terhadap Tun Mahathir dirasakan seperti teknikaliti.
“Jika kita mahu, kita boleh teruskan (siasatan jenayah), tetapi jika tidak, ia tidak perlu,” katanya.
Tiada siapa boleh persoal tahap patriotisme Tun M – KJ
Dalam pada itu, KJ berkata, tiada siapa yang boleh mempersoalkan tahap patriotisme Tun M, malah menyifatkan beliau sebagai salah seorang nasionalis paling menonjol di negara ini.
KJ juga menyifatkan tindakan mendakwa Tun M sebagai amat tidak adil terutamanya jika ia hanya berdasarkan teknikaliti.
“Tun M adalah pelbagai perkara, tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa beliau adalah salah seorang nasionalis paling menonjol di negara ini. Sama ada kita bersetuju dengan caranya atau tidak, itu perkara kedua.
“Saya sepenuhnya bersetuju dengan Shahril. Saya tidak fikir niat beliau adalah untuk mengkhianati Malaysia. Anda boleh katakan apa sahaja mengenai Tun M, tetapi untuk mengkhianati Malaysia itu saya rasa beliau tidak bersalah dan sepanjang kerjayanya pun beliau tidak pernah begitu.
“Jika kita bercakap mengenai siapa yang menjadi pejuang paling lantang untuk Malaysia menentang Singapura, itu adalah Tun M,” kata KJ.
Singapura ada hak terhadap Batu Puteh
Untuk info, pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.
ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer (km) dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika di bawah pimpinan Tun M menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura, lapor Awani.
Video penuh podcast Keluar Sekejap:
Baca Artikel Berkaitan: Kehilangan Pulau Batu Puteh : Ia Kesilapan Kerajaan Johor, Kata Tun Dr. Mahathir
Baca Artikel Berkaitan: